Wednesday 30 April 2014

SHIROD Rambles v.06: shirodryoriOshimasu

#shirod main masak-masak lagi. With Deen, Rayn and Rich...






Ding! Ding! Ding! Ding!
Bertalu-talu bunyi loceng di pintu. 

Rayn dan Richard sedang melepak di ruang tamu. Melayan Walking Dead. Back-to-back. Saat genting ni!  Saat pagar kem lindungan mereka hendak diroboh zombie. 

Rayn angkat kening, "turn kau!" 

"Ahh! Balik balik aku!" Membebel, tapi bangun juga Richard membuka pintu. Iya lah, sedar diri. Dia sekadar tetamu. 

Di balik pintu. Deen berdiri tegak di situ. Tangan kanan dan kiri penuh dengan jinjing beberapa beg plastik. 

"Assalamualaikum!" Terus terjah masuk ke rumah bujang milik Reynolds Hanafi itu. Apartment di Danga Bay, siap dengan pemandangan cantik menghala ke Singapura. 

"Waalaikumusalam." Bisik Richard. Diperhatikan saja gerak langkah kalut Rizal Deen. Kesemua beg plastik diletak di meja kaunter. Di dapur. Sudah kenapa mamat seorang ni? Kalut macam ni...

Richard tutup pintu. "Kau apa hal Deen? Kelam kabut je ni!" Jari telunjuknya berlari-lari menuding ke arah beg-beg plastik. "Tu apa? Nak buat apa? Bahan masak ke? Kau nak masak?" 

Deen bercekak pinggang. Sebelah tangan diangkat separas dada, "sekejap!" Senyap sesaat dua. Tarik nafas. Semput terasa. Ini semua kalau tak kerana Cik Cindi-tak-rela, takkan dia buat ini semua. 

Selamba Deen melangkah ke peti sejuk pula. Buat macam rumah sendiri. Seperti kebiasannya, penuh peti ais Rayn. Ada air tin 7up. Ada jus oren. Banyaknya yogurt! Dan pilih punya pilih, Deen ambil sekotak Peel Fresh akhirnya. Satu mug dicapai. Air oren dituang, "ahhhh..." Baru terasa betapa leganya tekak dia! 

Rayn yang sedari tadi menghadap televisyen pun berganjak ke ruang dapur. Rancak benar dia mendengar Rich menegur Deen. Apa benda pulak lah budak-budak ni...

Kini, ketiga-tiga lelaki itu berdiri di setiap satu penjuru meja kaunter. Berpaling-paling wajah. Apa? 

"It's her birthday! Aku janji aku nak buat something special..." Luah Deen. Akhirnya...

"Birthday siapa? Her siapa?" Richard bingung. Senarai kenalan perempuan Deen penuh sebuku folder name-card. Tak salah kalau dia terpaksa teka.

Deen guling anak matanya. "Birthday Cindi lah. Mana ada lagi yang lain..." 

"So, apa masalahnya?...celebrate je lah! Dah sah apa, nak buat celebration kategori mana pun boleh..." Disusuli high-five Richard dan Rayn. Ketawa-ketawa lelaki bujang berdua tu.

"Kurangggg lah tu!" Deen geleng kepala. Aura bujang dia masih ada lagi ke? Dah nampak sangat aura suami-suami ke? 

Rayn hentikan tawa juga akhirnya, "okay, okay bro... ni nak masak apa?" 

"Ayam panggang. Yang macam kita buat zaman degree dulu. Aku lupa lah cara dia..." Tangan Deen sudah menyelongkar kesemua bahan-bahan. 

Rayn datang merapat. "Mana tak lupa, lu yang selalu mengelat! Orang masak, lu membuta!" 

Ketawa meledak lagi. Kenangan zaman belajar mereka dulu sememangnya tak dapat dilupakan. Walau berlainan universiti, berlainan jurusan, berlainan tahap pengajian, tapi mereka tetap satu kepala. Menyewa rumah bersama. 

"Apa pulak mengelat. Aku kerja bro. Korang lain lah, belajar full time. Aku double task bro!" Deen tak puas hati. Mana ada dia mengelak. Dia penat. Kerja dan belajar dalam satu masa. Balik rumah, yang dicari cuma bantal saja. Lain tak ada. 

"Eleh! Kalau pergi jum..."

"Dah lah wei...karang Cindi balik, kau tak balik lagi..." 

Rayn baru saja hendak gali kisah dating Deen, tapi sudah dicantas Richard Krisnan pula. 

Serta-merta tiga lelaki mengambil alih tugas masing-masing. Macam tahu-tahu saja. Ibarat di rumah sewa lama mereka dahulu. 

Bahan-bahan sama-sama disemak Rayn dan Deen. Richard sudah bergerak menghangatkan oven. 

"Kau blender semua ni." Arah Rayn. 

"Semua?" Deen jungkit kening. Bahan-bahan yang diasingkan Reynolds Hanafi dipandang. Ada bawang merah, bawang putih, halia dan satu labu lada hijau. 

"Ya semua. Ikut je cakap chef-cikgi Rayn ni." Richard mencelah lagi. Bahu Rayn ditepuk sekali. Richard capai pula lobak dan kentang. Kulitnya dibersihkan satu persatu di sink bersebelahan Rayn. 

"Aku bersihkan ayam sekejap. Nasib baik kau pandai Deen... Tahu pulak kau beli bahagian maryland chicken ni." Lapan keratan ayam bahagian peha dan dada dicuci bersih oleh Rayn. 

Deen yang tadi sibuk dengan alat pengisar berpaling tubuh, "Lepas tu, bro?" Blender berisi kisaran bahan tadi diangkat separas wajah. 

"Come. Bawak sini. Tumis dulu dalam periuk ni." 

Tangkas Rayn bekerja. Olive oil dituang memenuhi dasar periuk. Bahan kisar dimasukkan. Berdesir. Tak sampai lima minit, harum bau tumisan bawang mengisi segenap ruang rumah. 

Deen berdiri sambil menyinsing lengan kemeja ke paras atas sikunya. Selit baju di pinggang ditarik juga. Lebih selesa. 

"Kan dah kuning-kuning ni kan, dah wangi kan bau dia, hah...kau dah boleh campak je semua. Masukkan je semua." Jelas Rayn sambil tangannya memusing-musing sudip kayu di dalam periuk. 

"Masuk apa? Campak apa?" Blur! 

Papp! Richard tepuk bahu Deen. "Blur lah kau bro! Takkan gabra nak treat orang rumah sampai macam ni sekali jadinya Abang Deen kita weiii!" Richard gelak lagi. 

Disahut gelak Reynolds Hanafi. 

Terfikir lagi di benak Richard, 'hai lah suami!' Kalau Deen yang serba serbi terkenal 'taff paling macho' antara mereka bertiga pun sudah begini gayanya bila tiba bab hal ehwal isteri, macamana lah agaknya dia dan Adinda nanti. Tak sabarnya nak tunggu saat-saat hendak melayan Adinda layanan istimewa begini. 

"Hah! Berangan!" Rayn tepuk dahi Richard. 

"Apa?" Richard gosok dahinya. Tak sakit pun. Tindakan refleks sahaja. 

"Berangan Adinda lah tu?" Serkap Rizal Deen pula. 

"Siapa lagi bro! Adinda beta lah!" Sengih memanjang Richard Krisnan sambil tangan laju memotong kentang dan lobak menjadi kiub sederhana besar. Siap dipotong kesemuanya, dimasukkan pula di dalam periuk yang sudah penuh dengan potongan ayam bersalut bahan tumisan. 

"Okay, kita tunggu sekejap. Sepuluh minit. Let the chicken cook halfway."  

"Kenapa kau tumis semua dulu bro, aku tengok chef mat saleh masak semua sumbat je dalam oven sekali jalan..." Soalan si blur. 

"Macam ni cepat sikit. Ayam half cook dalam periuk. Halfway lagi dalam oven. Kalau roast straight in the oven, lama sangat nak tunggu. Kau nak cepat kan? Aku buatlah cara separuh-separuh macam ni." 

Sambil menanti tumisan ayam, lobak dan kentang di dalam periuk, Rayn capai lagi dua mug. Untuk dia dan Richard. Santai mereka melepak di meja kaunter. Angin bayu yang menerpa dari pintu sliding balkoni terasa sangat mendamaikan. 

"Rayn, kau macamana? Jadi kahwin?" Tanya Deen. Mug berisi air oren dipusing-pusing. 

"InsyaAllah. Tengah tunggu sibling dia  confirm tarikh nak balik daripada New Zealand. Confirm je, kitorang proceed application kat pejabat khadi." Senyum lagi seorang bakal suami. 

"Kau Rich?" Soalan beralih kepada calon suami seorang lagi. Kisah bakal pengantin ini lagi sadis daripada kisah dia dan Rayn. 

"Insyallah. Sebulan lagi. Insyallah! Entahlah. Kejap jadi. Kejap tak jadi. Hopefully kali ni jadi, tak ada halangan macam dulu lagi." Kedengaran Richard tarik nafas dalam. Rayn dan Deen tunduk menghadap mug masing-masing. Sememangnya jalan cerita jodoh mereka bermacam gaya. Tak ada yang sama. 

Deen kalih pandang ke arah jam dinding. "Hey! Dah nak dekat sepuluh minit ni Rayn... Lepas tu macamana? Nak buat apa?" Tanya Deen. Teruja semula. 

"Okay, lepas ni kau buat sendiri. Air tangan kau saja untuk Cindi." 

Deen gosok-gosok kedua telapak tangannya. Bibir digigit sekejap. "Boleh, boleh... aku nak jampi-jampi sikit. Biar lembut sikit si Cindi tu dengan aku." Dan tersengih-sengih si lelaki bertiga itu ketawa. Faham akan apa yang dilalui Rizal Deen dan isterinya, Cindi Aisyah. 

Rayn ringan tangan saja melapik dulang pembakar dengan kertas aluminum. "Okay Deen, lepas ni kau keluarkan ayam, kentang, lobak daripada periuk tu... kau letak dalam mixing bowl ni." Rayn hulur satu mangkuk besi sederhana besar kepada Deen. 

Arahan seterusnya, "Kau tabur garam, lada hitam, basil, thyme. Kicap dengan madu pun kau jirus atas dia. Mix, ratakan semua keliling ayam. Kalau nak pedas lagi, boleh tambah serbuk lada. Serbuk kari pun boleh." 

"Jangan! Cindi tak tahan makan pedas. Tak macam lidah kita." 

"Pssst! Kau dah rasa eh lidah dia?" Richard yang bertanya, jungkit-jungkit sebelah kening. 

"Lu kurang asam eh Rich! Gurau 18sx eh dengan gua! Asik kena kan gua je sekarang ni! Nanti siap kau ya... siap lah turn lu nanti, wa kasi bakorr!" 

Terbahak-bahak Richard dan Rayn ketawa. 

"Dah, dah! Cepat! Tak siap nanti ni..." Deen akur dengan teguran Rayn. Ligat tangannya melumur ayam. 

"Dah lumur rata, letak ayam tu atas dulang besi ni. Susun flat semua, jangan bertindih. Nanti tak masak sama rata bahagian yang tertindih tu." 

Deen akur lagi. Setelah ayam, kentang dan lobak tersusun cantik di atas dulang, "Lepas tu?" 

Rayn hulur sudip kepada Deen, "scoop bahan kuah tumis tu, jirus sikit-sikit atas ayam. Tambah perisa dia." 

Deen akur lagi. Mengikut saja arahan Chef Rayn. Richard bersantau sahaja, sekadar menonton daripada seberang meja kaunter. 

"Okay, dah siap." Deen tersenyum. "Macam jadi je ni..."

"Walhal, panggang pun belum Encik Deen." Richard lagi. Penyakat terbaik sedari tadi. 

"Dah siap tu masuklah tray tu dalam oven sana." Richard bersuara lagi, "tu lah! Dulu kecik-kecik mak suruh belajar masak, kau lari tak mau!" Sakat lagi si suami yang baru nak belajar jadi mithali itu. 

Deen dah tak tahan dengan usikan Richard. Sempat dia capai sisa hujung lebihan carrot di meja kaunter. Dicampak ke dahi Richard. 

"Auchhhh!" Mengaduh Richard. Kali ini betul-betul dahinya sakit. 

"Wey! Kecah rumah aku! Behave! Korang tak kemas, siap eh!" Chef Rayn dah naik hangin! "Masukkan ayam dalam oven cepat lah Deen! Pukul berapa nak siap kalau macam ni!" 

"Iya! Iya! Relaks lah bro! Chill!" Lantas Deen masukkan sedulang ayam itu ke dalam oven. 

Richard pula datang merapati oven bila dilihat Deen masih terkial-kial. Beberapa butang dilaras. 210 degrees C. Empat puluh lima minit. Butang 'start' ditekan. "Okay, done.  Jom Rayn, sambung zombie!" 

"Wey aku?" Deen tuding jari pada dada sendiri. 

"Kau kemas ni semua. Kau yang punya angkara. Silakanlah ya." Ucap Rayn dalam gelak tawa. 

"Sii..." Tak jadi Deen nak habiskan ayat carutan yang hampir terluncur dari mulutnya. Teringat akan nasihat si isteri. Kepala digeleng sahaja melihat kawan-kawannya sudah santai berbaring di sofa. Tak boleh harap punya kawan! 


SATU jam kemudian...

Ketiga-tiga lelaki berdiri tegak menghadap sedulang ayam panggang. 

Rayn capai set pisau dan garfu daripada bekasnya di hujung sudut meja. Peha ayam dihiris sedikit. Hirisan ayam dicucuk, disuap ke dalam mulut. "Rasa ada. Sedap. Ada kualiti. Moist and yummy." 

"Kau tengah puji diri sendiri ke apa ni?" Tanya Deen. 

Richard pula capai pisau di tangan Rayn. Garfu diambil yang lain. Disuap juga hirisan ayam ke mulut. 

"Hmmm. Sedap. Betul lah Chef Rayn, sedap!" 

"Eh tapi kenapa rupa dia gelap semacam?" 

"Dah kau ikut kitorang layan zombie tu jugak tadi kenapa? Tak palingkan ayam tu... jadi lah dia gelap sebelah macam ni..." Chef Rayn berbalas hujah. 

"Boleh ke ni nak hidang dekat Cindi macam ni?" Sesaat Deen pandang wajah Rayn, kemudian kalih pandang ke wajah Richard pula. Kemudian menghadap dulang berisi ayam panggang yang agak gelap. 

"Boleh Deen! Kalau Cindi sayang kau, insyaAllah dia terima je apa pun kau masak.." 

"So...take this as sayang test... Kalau Puan Cindi sayang Encik Deen..." Rayn tepuk-tepuk bahu Rizal Deen, "dia akan terima kau seadanya... walaupun kau bagi dia ayam separa rentung ni!" 

"Terbaik lah kawan-kawanku... Terbaik sungguh!" Deen dongak menghadap siling, "Ya Allah! Kau lembut kan lah hati Cindi!" 

Serentak Rayn dan Richard menadah tangan menyambut doa sahabat mereka, "Ameen!" 

Copyright © 2014. Shirod Shukri. All rights reserved.