Friday, 1 August 2014

Qaseh v.01

Qaseh v.01



Kedengaran beberapa ketukan di muka pintu. Qaseh angkat sedikit pandangannya. "Hmmm?" 

Ada wajah kecil bertudung terjongol di sebalik daun pintu pejabat.

"Errr...Puan Qaseh, ni dah nak masuk Zohor ni, err...saya nak balik dulu...boleh ke?" Serba salah nada suaranya. Suara Zaidah Halim, pembantu peribadi dia. 

Qaseh tanggalkan cermin mata bacaannya perlahan-lahan. Dia tarik nafas, juga perlahan. Nafas dihembus. Masih bereaksi dalam keadaan senyap. 

Pandangan mata difokus pada jam digital di satu sudut mejanya. Pukul dua belas, tujuh belas minit tengahari. Pandangan Qaseh beralih pada si dia yang berdiri kaku di bukaan pintu. Senyap lagi. 

Dan sesaat...Qaseh larik senyum manis. 

"Baliklah, Kak Zed. Qaseh banyak kerja lagi ni. Kak Zed kan memang saya dah bagi half day hari ni, baliklah kak." Ucap Qaseh, mesra.

"Akak gerak dulu ya...Qaseh jangan lama-lama sangat duduk pejabat sorang-sorang. Bahaya Qaseh. Orang dah ramai balik kampung, area pejabat-pejabat sini dah lengang." 

Zaidah melangkah menghampiri meja Qaseh. Walaupun dia lebih berusia berbanding bos di hadapannya ini, Zaidah tetap hormatkan Qaseh. Hanya bila mereka berdua sahaja, bahasa gelaran formal dilucutkan daripada bicara. 

Tahap hormat Zaidah berasaskan dua sebab yang kukuh. 

Satu, Zaidah senang dengan sikap Qaseh yang tidak pernah kasar terhadap dia. Qaseh tidak pernah mengambil kesempatan atas status pengarah syarikat yang dijawatnya. 

Dua, kerana kasih sayangnya sendiri terhadap Qaseh. 

Qaseh Kawsar ibarat adik angkatnya. Qaseh Kawsar membesar di hadapan mata dia. Sebelas tahun Zaidah menjadi pembantu peribadi arwah ayah Qaseh, sebelas tahun itu jugalah arwah Haji Kamarul seringkali bawa anak bongsunya ini ke pejabat. 

Zaidah sendiri jadi saksi Qaseh pulang daripada sekolah, selesaikan kerja sekolah di bilik mesyuarat di hujung pejabat ini. Qaseh sentiasa sabar menanti ayahnya selesai kerja dan pulang bersama. Setianya Qaseh bersama arwah ayahnya tidak dapat disangkal. 

Dan dua tahun lalu, Qaseh Kawsar pegang tampuk pemerintahan pejabat ini...tanpa rela sebenarnya. Atas 'arahan mendadak' pada wasiat yang ditinggalkan arwah Haji Kamarul. 

Cara pemergian arwah bosnya itu sendiri agak mengejut. Tak siapa menyangka Haji Kamarul yang sentiasa nampak sihat itu adalah seorang penghidap penyakit jantung. Zaidah, orang yang paling rapat dengan Datuk Kamarul, yang langsung tak pernah suka menggunakan gelaran itu di hadapan namanya, pun tak mengetahui tentang penyakit arwah. 

Kasihan Qaseh, terpaksa menanggung beban mengendali syarikat di usia muda. 

"Qaseh..." Zaidah sudah berdiri rapat di hadapan meja kerja bosnya. 

"Ya kak." Qaseh Kawsar boleh mengagak apa yang mahu dibicarakan kakak angkat dia seorang ini. Bibirnya menguntum senyum.

"Qaseh raya rumah akak ya? Datang malam ni pun tak apa. Tidur rumah akak. Rewang-rewang masak rendang, masak serunding dengan keluarga akak. Nak?" 

Qaseh lunjurkan tangan kanannya mendepa menyeberang lebar meja. Tapak tangan ditadah. Permohonan senyap agar tangannya disambut. 

Zaidah Halim sambut genggaman salam Qaseh. Mereka sama-sama bertukar senyuman. 

"Kak Zed tak payah risaukan Qaseh. Qas okay je kat rumah. Mak Jah ada. Pak Yem pun ada. Tak sunyilah."

"Hmmm...kalau sunyi datang rumah akak ya. Anak-anak akak suka kalau Qaseh datang rumah." 

"InsyaAllah, nanti raya kedua ke, raya ketiga ke...Qaseh datang ya. Raya pertama Qaseh nak jenguk..." Terdiam. Qaseh pandang mata si kakak.

Zaidah Halim mengangguk bisu. Mengerti sepenuhnya ayat terputus di bibir Qaseh tadi. 

"Baliklah kak. Kirim salam abang and kids." Qaseh bangun daripada kerusinya. Dia berjalan ke arah Zaidah. Salam dihulur. 

Sempat Zaidah kerling set baju kurung longgar yang tersarung di badan Qaseh. Cantik. Tapi bukan itu yang buat pandangan mata Zaidah masih kekal di baju Qaseh. 

"Jaga diri, dik. Jaga makan. Jangan makan yang bukan-bukan sangat." Zaidah peluk Qaseh erat. "Anything, call akak. At any time, malam buta pun tak apa." 

"Ya kak, dah...pergi balik sana kak. Kids dah tunggu kat rumah tu. Nak Qas guna kuasa bos ke ni?"

Spontan mereka gelak bersama. 

Zaidah Halim lurutkan pegangan tangan dia. Kemudian dia melangkah  berat ke arah pintu. Seberat hatinya untuk membiarkan Qaseh Kawsar menyambut Aidilfitri seorang diri. 

✂️

© 2014. shirod shukri 





No comments:

Post a Comment