Saturday, 30 December 2017

PEARL 02

PEARL lepas keluhan. Mata dikerdip perlahan. Soalan lazim ini juga! Kenapalah ramai yang tak percaya itu nama dia. Mungkin ia satu nama yang jarang digunakan seorang wanita melayu. Tapi itulah kenyataannya.
Kata rakan sekelas dia di zaman sekolah-sekolah dulu, nama dia macam nama dalam buku cerita. Buku-buku cerita dongeng pula tu. Habis tu dia nak buat lagu mana. Ayah berkenan sangat dengan nama itu. Dan hakikatnya, dalam realiti kehidupan dia, ada dua lagi koleksi batu permata di rumah mereka. Kalau dia buka cerita, panjang salasilah keturunan batu permata yang perlu dia bentang.
     
Pearl Ratna binti Muhammad Idham
     
Reaksi lelaki itu membuatkan Pearl Ratna kulum senyum.
“Pearl. Ratna.” Satu persatu disebut lelaki itu. “Klasik.” 
Pearl tulis lagi.
     
Typical reaction. I am so used to this…

Dan dia senyum sambil memandang lelaki itu. Senyumannya berbalas. Pearl tanya pula nama si dia di dalam tulisan seterusnya. Buku nota di hadapannya beralih ke meja yang baharu sahaja diturunkan daripada terkapit di hadapan lelaki itu. Tangan si 34C menggamit, meminta pen di tangan Pearl Ratna.
     
Reynolds Hanafi bin Hafiz Steve Reynolds
     
Giliran Pearl Ratna berkerut kening. Mak ai! Dia capai semula pen hitam di tangan lelaki itu.
     
Nama tu... panjang sangat! Nak panggil apa?
     
Pearl telengkan kepala. Pandangannya kembali ke arah lelaki itu. Pen di tangan diputar-putar santai antara jari-jemari.
Reynolds Hanafi tergelak nipis. Matanya tancap kepada pena yang ligat menari di jemari Pearl Ratna. Hebat! Dia sendiri pun tak boleh putar pen selaju itu, secekap begitu.
“Nama sebenar saya pendek aje. Surname ayah tu yang buat nama kitaorang jadi panjang sangat.”
Pearl Ratna angguk. Tapi kenapa nama keluarga lelaki ini yang terletak di hadapan? Bukankah sewajarnya jadi Hanafi Reynolds? Hati mahu saja menanyakan soalan itu, namun memikirkan tempoh perkenalan mereka ini bakal berakhir enam atau tujuh jam lagi, soalan itu jadi sekadar soalan minda.
“Panggil nama pendek saya aja. It’s Rayn. Kakak saya tu...” Reynolds Hanafi toleh ke kanan, kemudian kembali memandang Pearl. “Reynolds Hanani. Kawan-kawan panggil dia Nani, tapi saya panggil dia Kak Ann. Awak boleh pilih mana-mana yang awak suka.”
Pearl balas sedekah yang terlarik di bibir lelaki itu. Dia menatap kembali tulisan di atas kertas. Gaya tulisan Rayn yang bulat-bulat, berlingkar bersambung antara setiap perkataan, tanpa putus, alah…hai. Skil tulisan berpintal-pintal itu, very cursive. Gaya tulisan anak berpendidikan Barat. Loghat si dia ini jelas loghat Aussie, tapi fasih pula berbahasa Melayu. Bingung jadinya dia.
     
Orang Malaysia ke? Bahasa melayu awak
     
Tulisan itu Pearl Ratna sambung dengan gaya ibu jari tangan tegak berdiri.
Rayn angguk laju. “Mak saya orang Muar. Ayah saya Aussie, dia berasal daripada Brisbane. Tapi, awak nak tahu, saya dan Kak Ann lahir di Johor Bahru.”
Kening Pearl Ratna bertaut. Brisbane? Muar, Johor? Okay, sekejap.
     
Ikan di laut, burung di langit,
How did your parents meet?

Ketawa kecil kedengaran di mulut Rayn. Pearl. Oh, Pearl. Kita nak main berbalas pantunkah? “Hmm, let’s see…” Pen Pearl Ratna sudah beralih tangan.
     
Kanggaru di Aussie, Harimau di Johor...
Love lorrr!
     
Terhinggut-hinggut bahu Pearl Ratna. Dia toleh ke kanan. Kelihatan lelaki itu hanya menyeringai. Rayn faham apa itu pantun. Okay, orang Melayu. Eh tapi, dalam bahasa Inggeris pun ada juga gaya sama seperti pantun. Rhymes. Poems. Dan mahu lain nama sedikit, Haiku untuk orang Jepun. Semua itu gaya penulisannya serupa macam pantun berkerat-kerat. Soalan dia tadi terlalu ringkas!
“Waktu abah saya masih muda, abah pernah jadi pengurus dekat sebuah ladang getah di Johor. Dan nak dijadikan cerita, abah jatuh hati pada anak pemilik ladang getah tu. And...” Rayn jungkit bahu sambil senyum lebar. “They say the rest is history.”
Pearl Ratna turut tersenyum sambil mengangguk. Itulah yang dinamakan jodoh. Dia percaya itu semua. Tak boleh pertikai kuasa Sang Pencipta, Pemberi Segala Rezeki- termasuk rezeki jodoh. Jauh macam mana sekalipun, kalau sudah tersurat bersatu, tetap bersatu. Sama macam rezeki jodoh dia. Kalau sudah tersurat terpisah, berpisah juga.
“Orang selalu kata kitaorang, orang Aussie, sebab muka yang macam ni…” Rayn tuding jari ke wajah sendiri. “Tapi saya selalu ingat kat dalam hati yang saya ni anak Malaysia. Kak Ann tu…” Rayn toleh sekilas ke kanan. Kemudian kembali melirik ke sisi wajah Pearl Ratna. “Dan saya pun sama, kita orang lebih selesa balik kampung kat Johor berbanding balik kampung Nanna dekat Brisbane. Malaysia is definitely my home country.
Pearl Ratna tebar senyuman, membalas senyuman Rayn.
“Satu hari nanti, saya rasa saya akan balik menetap kat Malaysia. For good.”
Amboi, berkobar sungguh dia ni, tokok Pearl dalam hati. Dia yang selama ini hidup di Tanah Melayu itu pun mahu ekstradisi diri sendiri ke negara orang. Mat ‘sirih’ di sebelah dia ini yang beria nak pulang ke gagang? Terbalik!
Tapi kalau keluarga lelaki ini berada di Brisbane, buat apa si dia terbang ke Melbourne?
     
Melbourne? Belajar?              
     
Rayn angguk setelah membaca tulisan itu. “RMIT. Master of Arts. Arts in Public Space. To be specific, sculpture design in public space.”
Pearl angguk. “Oh...” Pelajar senireka rupa-rupanya.
“Awak pun from RMIT?” Rayn gantung kening. Rayn berani mengagak pukul rata penumpang penerbangan malam ini adalah pelajar.
Berapa ramai pelajar Malaysia di Bandar Melbourne? Ke mana sahaja melangkah, peluang terserempak dengan orang kita memang sangat tinggi. Sekarang ini musim cuti pengajian. Pensyarah di seluruh Australia pakat tekan butang pause. Tak hairanlah kalau Pearl Ratna juga ambil peluang senggang seminggu ini untuk pulang ke kampung.
Pearl geleng. “Melbourne Uni.” Dia terbatuk sedikit. “Arts in Child Pedagogy.” Dan mula terbatuk lagi.
Sorry. Come again. Child...” Si dia ini belajar tentang kanak-kanak? Betul ke apa yang dia dengar? “Kursus apa awak cakap tadi?”
Payah betullah! Rengus Pearl Ratna dalam diam. Tekak dia sudah terasa perit. Air liur ditelan perlahan-lahan. Sudah ada rasa memberat seperti bebola guli di tengah kerongkong. Dia melepaskan satu deham yang agak kuat. Kalau begini, lebih baik dia tulis sahaja.
     
Arts in Children’s Pedagogy. Post-grad. Melb Uni.
     
Reynolds Hanafi tergamam. Kemudian dia toleh ke kiri. “Serius?” Ini kali pertama dia jumpa seseorang yang belajar tentang anak kecil.
Pearl Ratna angguk yakin.
“Wow.” Berapa kali dia nak terkelu dengan fakta-fakta tentang wanita ini? Dan apa lagi yang Pearl catat tu?
     
Saya minat. Didik kanak² dengan seni.
     
Pearl kembali mengangkat wajah. 
Rayn capai pen dan bulatkan perkataan ‘seni’. “Sebenarnya Pearl, topik kita sama aje. Dua-dua pun melibatkan seni, tapi target subjek kajian saya untuk orang awam.” Pearl Ratna mengangguk setuju, sebelum Reynolds Hanafi sambung bicara. “Dalam kes awak, fokus tu untuk kanak-kanak.”
Pearl masih berdiam diri.
Lirikan senyuman tanpa henti di bibir Pearl memancing Rayn untuk teruskan perbualan.
“Kakak saya dulu belajar dekat Melbourne Uni. Senibina. Sekarang ni dia trainee architect dekat High Street. Somehow, I could say that art runs deep in our family.
Mereka sama-sama menoleh ke arah Kak Nani, tetapi ternyata kakak itu mungkin sudah bermimpi dengan anak-anak rusanya.
Rayn senyum. “Kak Ann ni kalau dah tidur, tak kejut makan pun tak apa.”
Pearl hanya mengulum tawa. Dia tak berani nak aktifkan tekak secara berlebihan. Tekak dia mula terasa bertambah kering, tapi topik pengajian mereka yang serupa-tapi-tak-sama itu membuatkan dia ingin terus berbual dengan Rayn. Manalah tahu, dia boleh jadikan lelaki ini salah seorang kenalan akademik. Bidang mereka sama. Friends with benefits. Tak mustahil.
Pearl gerakkan pen hitam sekali lagi.
     
Buat apa kat Malaysia?
     
It’s non-teaching period kan, biasalah, cuti seminggu macam ni, kami balik rumah family mommy dekat Johor.” Jawab Rayn.
Pearl jongket kening. Oh, mat saleh separa ini masih berulang alik ke Malaysia? Bukankah ini minggu ulang kaji untuk pelajar universiti di Australia, sebelum minggu ujian bermula. Lelaki ini tak ambil peperiksaankah? Relaks sahaja. Sempat pula pulang ke kampung. Kalau dia, memang batang hidung dia sudah seinci di hadapan helaian buku. Ataupun...

Tak ada exam ke?
     
Reynolds Hanafi senyum. Dia tahu kenapa Pearl tanya soalan itu. “I do full master-by-project. Awak?”
Pearl tuding telunjuk ke arah dada sendiri dan geleng untuk jawab soalan Rayn.
By coursework?” Tebak Rayn pula.
Pearl geleng lagi.
Mixed?
Kali ini baharu Pearl angguk.
Rayn ikut sama mengangguk.  “Interesting.

Johor? Balik Muar?

Rayn menggeleng. “Datuk saya dah lama berpindah, sekarang tinggal di satu dusun buah dekat Tanjung Piai.” Sambung Rayn, menjawab kemusykilan soalan yang tertulis di helaian kertas. “Rugilah kalau tak balik kampung dan pergi dusun waktu cuti panjang macam ni. Exam or no exam, this is one decision which we’ll never hesitate. Tak pernah missed. Kali ini, kami balik tengok pokok durian.” Rayn sudah tersengih lebar sambil jungkit kening beberapa kali.
Laju jemari Pearl Ratna menari lagi.
     
Tengok aje? Suka durian tak?

“Ish!” Mata Reynolds Hanafi membulat. Dada ditepuk-tepuk perlahan. “Fanatik!”

Dodol durian?

“Oh, itu pantang. Pantang jumpa.” Jawapan Rayn itu membuatkan mereka berdua berbalas tawa kecil.

Serawa?

“Hmmm, yang itu, yang itu saya rasa… tak ada manisan lain yang setanding nikmat serawa. Authentic.
Pearl tersenyum dan angguk lagi. Dia pun setuju. Dia pun peminat serawa. Lelaki ini memang sah pemuja durian. Serawa pun kenal. Apa lagi ya makanan yang boleh dibuat dengan durian? Oh!
     
Tempoyak?

Oh... my… my!” Reynolds Hanafi jawab laju dan tarik nafas dalam, kemudian lepas perlahan-lahan. “Jangan sebut yang itu. Buat saya telan liur aje. Nasib baik tak boleh bawa durian naik kapal terbang tau. Kalau  boleh… hmmm… dah lama saya nak buat kerja tak senonoh tu.”
Pearl Ratna tersenyum melihat reaksi yang masih kekal di wajah Rayn. Lelaki itu buat mimik cebik kecur. Handsomely kecur.
Hah! Dia nak letak gelaran itu pada lelaki ini. Sangat sinonim. Memang susah nak percaya. Lelaki separa Melayu, separa mat saleh seorang ini sangat meminati sang raja buah. Payah nak jumpa masyarakat luar yang boleh terima bau dan rasa durian.
Andrew Zimmern, si pengacara dalam rancangan makanan pelik-pelik itu pun merungut untuk habiskan seulas durian. Zimmern siap lengkap bersarung plastik di tangan waktu nak pegang sejemput kuning itu. Tapi Encik Reynolds yang ini, boleh tahan!
“Peliklah-” Dan akibatnya… aduh! Pantas Pearl tekup mulut. Tekak dia ibarat tersagat kertas pasir. Mata dipejam erat dalam menahan rasa sakit di hujung tekak. Tangan diseluk laju ke bawah tudung, mendakap dan menggosok batang leher. Kalaulah tangan dia boleh diseluk masuk ke ruang tenggorok, pasti dia dah buat. Tak selesa sungguh, Ya Allah!
“Hei... hei...” Bisik Rayn. Tubuhnya turut menunduk mengikut lengkong badan Pearl Ratna. “Pearl, tak payahlah bercakap. Nanti makin sakit tekak awak. Kita tulis aja ya? Tak apa, lambat-lambat pun tak apa. Saya baca.” Pearl bercakap kerana layankan dia berbicara. Dia turut rasa bersalah.
Pearl sekadar angguk perlahan. 
“Nak minum?” Rayn perhatikan Pearl yang kini bangkit daripada tertunduk, tetapi anak mata itu kelihatan berkaca-kaca. Sakit sangatlah tu! “Awak ada air tak?”
Pearl geleng laju.
Rayn bingkas tanpa menunggu jawapan balas. Pramugara yang sedang menolak troli makanan selang beberapa kerusi di hadapan mereka dihampiri. Seketika kemudian, dia kembali semula ke lorong mereka.
Pearl bersiap sedia. Kenapa pula Rayn bawa sekali pramugara itu ke kerusi mereka? Ah, sudah!
“Cik, okay tak? Perlu ubat ke?” Soalan bukti jelas mantan pemenang anugerah Staf Kabin Terbaik Dunia.
Pearl Ratna pandang Rayn yang masih berkerut dahi di belakang si pramugara. Riak risau jelas terpamer di wajah lelaki itu. Jemari Rayn membuat gaya menulis. Pearl akur.
     
I m OK. Sakit tekak. Plain water. pls
     
“Oh!” Reaksi spontan si pramugara.
Tanpa dapat ditahan, Pearl tersenyum kelat dengan reaksi si pramugara. Setiap orang yang dia jumpa hari ini pakat nak bagi dia reaksi huruf serupa ya?
“Okay, ini air minuman. Kalau you perlukan apa-apa bantuan lain, tekan butang tu ya.” Jari pramugara itu menghala kepada satu butang pada alat kawalan di sisi kerusi.
Wajah pramugara yang murah sedekah senyuman itu beralih pula kepada Rayn. “Apa-apa hal, you tolong beritahu I, boleh?” Dan tangan si pramugara juga beralih lokasi.
Rayn angguk laju dan angkat dua tangan separas dada. “No worries. Saya boleh jagakan dia.”
Beautiful.” Balas si pramugara dalam senyum yang menampakkan dua lekuk di pipi.
Reynolds Hanafi biarkan pramugara itu beredar. Saat dia duduk semula, dia nampak sengih lebar masih melekat di wajah Pearl Ratna. Sakit-sakit pun sempat menyeringai! Nak kena ni! Pasti sedang ketawakan dia.
“Awak rasa dia bengkok ke lurus?” Bisik Rayn sambil betulkan tali pinggang keledar. Jari dituding pada Pearl Ratna. “And wipe that smirk off your face.” Rayn ketap bibir. Masih terasa sentuhan dan genggaman lembut si pramugara di lengannya sebentar tadi.
“Ish.” Geli-gelemannya!
Pearl terlepas tawa. Dan akibatnya sekali lagi dia tersandar kepala di tingkap kecil dengan mata terpejam rapat.
“Ha... . Itulah balasan ketawakan orang.” Rayn senyum sinis. Dia pulas penutup botol. Air mineral dituang memenuhi dua pertiga cawan plastik. “Pearl...”
Pearl Ratna buka mata kembali.
“Awak dah makan ubat ke belum?” Rayn hulur cawan. “Ada ubat tak?”
Pearl geleng dan angguk.
Rayn ketawa pendek. “You are one confused soul.
Pearl tersenyum juga. Aduhai bagaimana dia nak cakap ya? Dia bawa ubat tapi dia belum makan ubat. Cawan dibawa ke bibir dan air dihirup perlahan. Kemudian cawan diletak kembali di meja kecil yang terbuka di hadapan Rayn.
Batuk ini turut memberi kesan pada tubuh. Dia mahu katil. Mahu berguling macam tenggiling. Inilah akibatnya jika buat keputusan mendadak. Melawan cakap ibu bapa. Menafikan nasihat doktor. Rasakan!
Telapak tangan ditayang kepada Reynolds Hanafi. Dia tunduk mencapai beg galas di bawah kerusi. Zip poket kecil di bahagian hadapan beg dibuka. Satu beg plastik berzip dikeluarkan dan diletak di atas peha.
Pearl belek pula isi beg plastik. Dia mahu mencari beberapa peket putih bertanda ‘sebelum’ dan satu lagi kaplet ubat penahan sakit sebelum rasa ngilu di tubuhnya jadi melarat.
Rayn penuhi cawan plastik sekali lagi. Meja kecil di hadapan Pearl diturunkan.
Seminit kemudian, Pearl lepas keluhan lega. Harap-harap tubuh badan dia bertindak balas positif dengan ubat-ubat yang dia telan.
“Yang lain tu pil ‘selepas’?” Rayn tunjuk beberapa peket ubat yang masih di dalam beg Ziplog. Ada banyak. Ada pil kecil. Ada kaplet bulat-bulat besar. Kenapa perlu sehingga begitu banyak ubat? Bukankah sekadar untuk sakit tekak? Kalau dia, minta ampunlah. Dia sanggup cicip Strepsils sahaja kot. Dia tak suka dengan ubat-ubatan yang bertimbun macam tu.
Pearl angguk perlahan. Salah satu daripada peket putih kecil itu dikeluarkan dan dirapatkan ke pandangan Reynolds Hanafi. Jari telunjuk dileret di bawah beberapa patah perkataan.
May cause drowsiness.” Bisik Rayn. “Okay, nanti lepas makan, awak rehat.” Tapi Rayn sempat capai dua peket ubat sebelum Pearl Ratna kemas semuanya. “Yang ini?” Apa yang sakit sangat hingga perlu ubat penahan sakit? Dan ubat... tambah darah?
Pearl Ratna ketap bibir. Ah, hentam! Dia genggam batang leher, nganga sedikit dan tayang anak tekak.
“Sakit tahap max?” Logikanya di mana? Persoalan yang masih belum selesai di minda Rayn.
“Hmmm.” Cepat-cepat Pearl tunduk dan simpan beg berisi ubat ke dalam poket beg. Dia capai pula buku nota dan pen di poket kerusi. 

Thanks ambilkan air :)
     
Rayn ambil pen daripada genggaman Pearl Ratna.

U r most welcome ;)
     
“Rehatlah.” Sambung Rayn. “Tak payah bercakap dengan saya. Kalau saya cakap, nanti awak ikut bercakap. Nanti bertambah sakit tekak tu. Kita conteng dalam buku nota ni aje, ya. Nak?”
Pearl angguk.
Tiba-tiba Rayn tertawa kecil mengenangkan satu memori yang terlintas di ingatan. Pandangannya kekal menghala ke hadapan. Kepala disandarkan ke kerusi.
“Dulu saya pernah buat macam tu. Mengumpat dekat kerusi paling belakang dalam kelas, mengumpat atas kertas buku latihan, waktu cikgu sibuk mengajar kat depan.”
Pearl lirik sedikit ke arah kanan, mendengarkan bisikan Rayn. Buat apa Rayn cerita hal ini kepadanya?
Reynolds Hanafi menjengah sedikit ke hadapan. “Itu…” Bibir Rayn muncung ke arah pramugara tadi yang masih mundar-mandir. “Itu cikgu P.E. olok-olok.” Dia toleh dan senyum kepada Pearl Ratna.
Bergegar sedikit bahu Pearl. Sempat dia jengah juga ke arah sang pramugara.
“Awak perasan tak apa dia buat tadi?” Bisik Rayn lagi. Dia mahu alihkan perhatian Pearl daripada rasa sakit yang ditanggung. 
Pearl angguk sambil ketap bibir. Geli hati dia melihat Rayn mengibas-ngibas lengan sendiri. Pasti terkenang sentuhan pendek tetapi cukup memberi kesan oleh Si Cikgu P.E.
Pen di tangan mencoret lagi...

Tak baik! Cakap dia macam tu.

Terlepas gelak pendek di mulut Rayn selepas membaca sekilas tulisan Pearl. Mata dia masih belum boleh lari fokus. Ah! Lelaki itu! Koleksi abang gagah yang hati tak gagah rupa-rupanya. Rayn toleh kembali ke arah helaian kertas apabila terdengar Pearl buat ketukan nipis di permukaan buku. 
     
I thought guys don’t gossip.
     
Dia tatap wajah Pearl Ratna. “Awak jangan tak percaya. Ada orang lelaki yang tempayannya lebih besar daripada orang perempuan.”
Pearl Ratna senyum kelat. Siapa kata dia tak percaya?
     
Awak?
     
“Saya?” Rayn angkat kening tinggi. Dia geleng laju, tapi turut menjungkit bahu. “Saya ni kadang-kadang terjadi pasu kecil juga, Pearl. Pasu kecil, ganjarannya kecil. Pasu besar, ganjarannya besar. Sekarang, saya belajar tak nak jadi pasu lagi. Tak kiralah pasu besar atau pasu kecil.” Rayn gelak tipis. Apa yang dia merepek ni? Kenapa berhadapan dengan wanita ini bicara dia jadi ke laut semuanya?
Pearl senyum sinis. Iyalah tu! Sesaat kemudian, perkara lain pula yang terlintas di benak Pearl Ratna.
Fakta pertama, lelaki ini separa harimau, separa kanggaru. Tak boleh ditebak jatidirinya lebih kepada yang mana satu.
Kedua, lelaki ini berbincang perihal dosa pahala. Tetapi setelah membuat dosa kecil di depan mata dia. Boleh percaya ke?
Ketiga, orang seni, bahasanya berlapik-lapik, berpasu-pasu. Entahkan yang mana satu betul, yang mana satu auta?
Pearl sandarkan kepala. Bola mata dia mula terasa kelat. Mata dipejamkan seketika.
Pengalaman mengajar dia, apa yang dilihat di luaran seseorang, mungkin tak sama dengan apa yang ada di dalam hati insan itu, detik hati Pearl. Seseorang yang nampak baik di luar, di dalam jiwanya, siapa yang boleh mengagak? Seseorang yang tampak kemas bergaya, dalam hati mungkin tak terurus seperti apa yang kita sangka. Orang yang nampak serabut, mungkin sahaja peribadinya tersusun rapi. Sehingga diri ini sudah terkena dengan ilusi logik sebegitu, baharu kita akan tahu.
Dan si dia gaya backpackers di sisinya ini, orangnya bagaimana? Baik? Budiman? Beretika? Beragama? Liberal? Konvensional? Pearl Ratna ketatkan pejam mata, cuba kelamkan satu memori lama yang tiba-tiba timbul juga.
Apabila dia buka mata, pen di tangan laju digerakkan semula.

Rain, nak main game?
     
Game apa?” Bisik Reynolds Hanafi. “And it’s...” Pen di tangan Pearl dirampas lembut sekali lagi...

R  A Y  N

“Bukan hujan.” Nafi Rayn. Ada senyuman lebar yang tak mahu kuncup di bibirnya.
Pen kembali ke tangan pemiliknya...

Sukahati I lah RAIN.

Pearl letak garisan di bawah perkataan hujan itu. Dia tayang sengih, menyelindung rasa malu. Alah, bukannya besar sangat salah tipografi dia. Janji bunyinya sama.
Rayn geleng perlahan. “Suka hati you lah, Mutiara. Boleh tak kalau macam tu?”
Lantas Pearl menderam nipis sambil tuding pen ke wajah lelaki itu.
“Oh! Kita melayu-kan nama dia, dia tak suka ya, Mutiara? Dia tukar nama kita tak apa pulak.” Balas Rayn sinis.
Pen hitam sekali lagi menjawab untuk Pearl Ratna...
     
It will always be Pearl. Bukan Mutiara. Pearl.

Macam yang ayah selalu sebut, nama dia Pearl, Pearl Ratna. Tulisan Pearl itu akhirnya berbalas...

Rayn.

Pearl balas kembali...

Rain.

Rayn juga tak mahu mengalah...

Mutiara.

Pearl lepas keluhan dalam senyuman. Dia toleh memandang Reynolds Hanafi. Pandangan mereka bersabung buat seketika. Lelaki itu sudah bermain kening pula.
Pearl renung tajam sambil jungkit kening juga. Raut kening itu ibarat soalan vokal dia untuk Rayn, awak nak berlawan lagi, atau mahu berhenti?
Tetapi lelaki itu ambil pen di tangannya. Okay. Baiklah. Pearl lempar senyuman bersahaja tanpa secubit rasa mahu mengalah. Sehingga akhirnya, perbalahan tulisan itu kini hampir memenuhi seluruh mukasurat. 
Pearl urut jemari antara selang tulisan mereka. Asal usul nama dia itu, ayah selalu jadikan bedtime story mereka. Nama dia bukan merujuk kepada objek. Nama dia merujuk kepada satu lokasi. Kata nama khas.
Waktu dia masih di sekolah tadika, ayah setakat kaitkan tarikh lahir dia sama dengan tarikh sejarah lokasi itu.
Apabila dia sudah bersekolah rendah, ayah besarkan skop cerita. Ayah cerita tentang nekadnya pihak Jepun yang kamikaze menyerang naval base itu. Mama selalu mencelah, kamikaze tapi cetuskan peperangan, huru-harakan keadaan, korbankan ribuan nyawa tak berdosa, nak buat apa.
Waktu dia masuk alam sekolah menengah, baharulah mama beritahu cerita sebenar bagaimana nama Pearl itu boleh tertulis di lencana sekolah dia selama ini. Kisah cinta mama dan ayah rupa-rupanya. Kisah teori jodoh tipikal pelajar pusat pengajian tinggi.
Crap. Dia sudah tak percaya itu semua. Mungkin teori itu menjadi untuk mama dan ayah, tapi bukan lagi untuk dia.
“Awak tu kan Melayu tulen, Cik Mutiara?”
Soalan Rayn membuatkan Pearl berfikir semula di mana perbualan dan tulisan mereka terhenti sebentar tadi.
“Hmmm...” Ah, tak mengapalah. Ganti nama Melayu untuk lima jam lagi, tak luak mana pun. Sewaktu giliran dia sampai untuk berbalas kata ‘hujan’, Pearl mula conteng sesuatu yang berlainan, di lembaran baharu.
Dua garisan menegak mula dilakar, berjarak kurang lebih dua sentimeter antara keduanya, diconteng di tengah-tengah helaian kertas baharu. Diikuti pula dua garisan melintang, bersilang di atas garisan menegak tadi. Terbentuk sembilan ruang ilusi petak kosong antara setiap garisan.
      Rayn senyum. “Saya pangkah, awak bulat.”









Hakcipta terpelihara. ©  Shirod Shukri. 2017


PRE-ORDER NOVEL PEARL!
Terbitan minggu ke-2 Januari. 
462 mukasurat 
Bulky paper
Belian online sahaja, tidak dijual di kedai buku. 





Whatsapp +6014 620 6290
Atau 
pm inbox Facebook Shirod Shukri di link ini: 

https://www.facebook.com/shirod.shukri

No comments:

Post a Comment