Saturday, 30 December 2017

PEARL 03

SAAT ini, Pearl Ratna akui dia sudah berada di persimpangan. Latarbelakang lelaki budiman mana satu yang lebih agung? Lelaki Melayu? Atau lelaki kulit putih? Kata orang kebanyakan, lelaki mat saleh lebih budiman orangnya, berbanding lelaki Melayu. Lelaki di sebelahnya ini mewakili pihak yang mana satu?
Dia tak pernah ada pengalaman dengan lelaki yang asal usulnya 50/50. Tapi serius, lelaki separa-separa di sebelah dia ini skala adabnya lebih tinggi daripada lelaki Melayu asli yang dia kenal. Nisbah budiman 70-30 kot. Ada kaitankah antara faktor genetik dan adab manusia? Tiba di rumah nanti, dia mahu selidik tentang teori genetik versus adab.
Dan ironinya, ada seorang lelaki Melayu yang pernah dia kenali, pernah melayan dia seperti ini juga. Tapi sekarang, lelaki itu selayaknya terkeluar daripada senarai perbandingan ini. Lelaki itu sudah berada dalam senarai hitam. Kalau di status Facebook dia, sudah layak ke senarai blocked. Manusia boleh berubah. Lebih baik dia lupakan eksperimen ini semua.
Sebentar tadi, saat hidangan makan malam dihidang di meja kecil mereka, lelaki ini bertindak seperti sudah kenal dia lama. Makanan yang terhidang, ternyata tidak banyak yang boleh dia jamah. Dia hanya makan buah-buahan, dan sebuku roti bulat, serta secawan kecil yogurt.
Roti itu perlu direndam di dalam susu terlebih dahulu. Rayn yang ajar dia buat macam tu. Kata Rayn, roti Perancis kecil itu agak kering untuk diterima tekak yang sedang luka. Memang betul!
Bersungguh lelaki itu meminta secawan susu suam daripada ‘guru Pendidikan Jasmani’ bertugas. Dan nampak sangat guru bertugas itu menganggap Rayn ulam yang mendatang. Tapi lelaki ini tetap tayang muka kejung tanpa perasaan. Sandiwara orang lelaki sungguh!
“Ambil ni.”
Gerak suapan sudu di tangan kanan Pearl terhenti di separa wajah. Yogurt milik Rayn sudah berada di dulang kecil di hadapannya. Dia toleh ke kanan. Kening diangkat sedikit. Dan Pearl geleng laju.
Tak naklah! Takkan sampai dua mangkuk yogurt untuk dia seorang.
“Yogurt sejuk, sedap untuk tekak, betul tak?”
Pearl Ratna angguk perlahan.
“Makanlah lagi. Saya tak minat yogurt.” Itu alasan terbaik yang boleh Rayn fikirkan. Roti bulat miliknya turut diletakkan di dulang makanan Pearl Ratna. “Makan roti ni sekali.”
Pearl besarkan mata. Hendak berbalas conteng, mana mungkin. Dulang hidangan makanan memenuhi segenap ruang meja kecil mereka. Tiada tempat untuk dia menulis. Tangan dia naik menepis angin. Betul, dia tak mahu. Rayn ni...
“Saya ambil nasi tu. Kita tukar.” Jika tindakannya itu boleh membuatkan Pearl makan lebih banyak, begitu mungkin lebih baik, fikir Rayn. 
Pearl setuju juga sudahnya. Terima sajalah. Perut dia memang lapar. Sebelum berlepas tadi, dia tak sempat makan berat ketika di lapangan terbang. 
“Terima kasih.” Bisik Pearl. Dan Rayn balas ayat dia dengan anggukan dan senyuman.
Gosh, senyuman keramat itu! That handsomely senyum!
Aduh hati dia ini. Hentikanlah letak gelaran yang tak wujud dalam kamus tu! Dia menggeleng sendiri. Akhirnya Pearl habiskan juga yogurt dan sudahi makan malam dengan beberapa biji pil daripada beg ubat bertanda ‘selepas’.
Lima belas minit kemudian, dia sudah mula menguap. Bantal kecil yang disediakan, diletakkan di dinding kiri, selaras dengan batang leher. Bahu mula dirapatkan ke bantal. Kerdipan mata mula perlahan, dia dapat rasakan itu.
“Mengantuk?”
Mendengarkan suara Rayn, Pearl sekadar angguk. Saya lalok, istilah itu lebih tepat lagi, Rayn.
“Nak minum air lagi?”
Bisikan lelaki itu semakin hampir kedengarannya di telinga dia. Pearl geleng. Jari telunjuk dan ibu jari kanan dibulatkan. Dia okay, cuma mahu tidur. Tak kiralah lelaki budiman atau tak budiman, sekarang ini tolonglah jangan ajak dia berbual lagi.
“Tidurlah.” Rayn hulur bantal kecil hak tempat duduk dia. “Kalau ada apa-apa, waktu kita nak sampai nanti, saya kejutkan.”
Pearl angguk. Huluran bantal Rayn diambil tanpa segan.
Rayn tersenyum sendirian. “Gebar awak mana?”
Pearl jongket bahu. Bibir dia pula buat hal, tiba-tiba mahu tersengih. Apa Rayn sebut tadi? Gebar? Lelaki ini sahih anak Johor! Tangan dia turut mula meraba di sekitar tempat duduk. Dia geleng perlahan. Tak ada, gebar dia sudah lesap.
Semakin lebar sengih di bibir Rayn melihatkan gaya mamai si dia. Pearl ini, senyum-senyum pula. Janganlah macam tu!
Rayn tunduk menjengah di bawah tempat duduk mereka. Dan kelihatan satu longgokan berbalut plastik di hujung kaki Pearl. Hei gebar, macam mana boleh sampai ke situ!
Selimut kecil berplastik itu dicapai. Kemudian, dia siat beg plastik. Kain 2 nisbah 1 itu diserahkan kepada Pearl Ratna.
Pearl tanggalkan kasut dan selimut ditebar agar menutupi seluruh tubuh. Hanya kepalanya terjongol keluar. Kedudukan bantal di bahu kiri dirapikan. Bantal di dada dipeluk semakin kejap. Sempat dia senyum tipis kepada lelaki di sebelahnya, dan kembali menoleh ke arah tingkap.
“Terima kasih.” Pelupuk mata Pearl mula rapat.
“Sama-sama.” Jawab Rayn dalam bisikan. “Sweet dreams.”
Saat ini, satu perkara sahaja yang berlegar dalam fikiran Rayn. Ini julung kali dia saksikan aksi mamai versi anggun! Anggun ala-ala Shiela Majid, begitu!


SETENGAH jam pertama selepas itu, mata Reynolds Hanafi masih tak mahu bekerjasama. Arah bahu kiri kerap ditatap. Akhirnya dia capai alat kawalan untuk skrin monitor kecil.
Penerbangan mereka ada lebih kurang empat jam lagi. Dia tak gemar tidur di dalam pesawat. Dalam apa keadaan sekalipun, dia lebih selesa tidur berbantal busuk lembik di Swanston Street.
Rayn lekap fon kepala di telinga. Episod ulangan Anthony Bourdain’s: No Reservation menjadi pilihan.
Bertuah sungguh hidup Bourdain dapat berjalan-jalan sambil ceduk ilmu. Bukan setakat dapat ilmu, pengalaman pun makin berkepuk dalam dada. Apatah lagi keseronokan mengelilingi segenap pelusuk dunia.
Suatu hari nanti, dia nak buat apa yang Bourdain lakukan. Dia mahu melancong, tapi dia nak tatang pelet cat minyak berwarna, bukan mencari lubuk makanan.
Tisu tangan berlogo penerbangan MAS yang diramas di hujung jari sedari tadi ditatap seketika. Terlintas sesuatu di fikiran Rayn saat dia tatap logo itu.
Syukur.
Itu perkataan yang paling tepat untuk perasaan dia kala ini. Hidup dia bebas macam wau bule juga. Tapi sebebas-bebas dia, abah dan mommy tetap kawal teraju wau. Setiap dua atau tiga bulan, orang tua mereka tetap buat lawatan mengejut ke apartmen. Selang satu dua malam pasti ada satu roll-call daripada Mommy. Kata Mommy, sehingga dia dan Kak Ann bercucu-cicit suatu hari nanti pun, Mommy tetap akan buat rutin itu. Tugasan sepanjang hayat, ikrar Mommy.
Aduhai! Teringat pula tentang tanggungjawab dia yang belum selesai untuk hari ini. Nantilah, dia boleh lapor koordinat di Tullamarine.
Sedang asyik mengelamun sambil acah tonton Bourdain, Rayn terasa satu henggukan di sisi kerusi. Dia toleh ke kiri. Kepala itu menjauh kembali. Tapi beberapa saat selepas itu, kepala itu tersengguk semula. Aduh, macam mana ni? Pasti sakit tengkuk itu kerap berlaga. Bahu dia pun bukannya anjal sangat. Sakitlah!
“Pearl...” Nama itu diseru perlahan.
Dan tak semena-mena Rayn terkaku sendiri. Ada satu perasaan pelik terbit di hati tatkala nama itu terbisik di bibir dia, di saat tuan empunya nama pulas tertutup mata. Dia tarik nafas dalam dan hela perlahan.
“Pearl.”
Serius. Perasaan damai itu benar-benar ada dalam bisikannya yang kedua. Entah daripada mana. Si mutiara yang agak rapat di bahu kiri mula direnung. Pandangannya mula merayap.
Seraut wajah itu... tenang sungguh. Kulit wajah yang… perfecto! Mommy! Sejujurnya, dia tidak sanggup duduk rapat begini dengan Pearl Ratna. Canggung dirasakan untuk dia rapat-rapat dengan wanita berbalut lengkap begini.
“Pearl…” Bisikan ketiga.
Ah! Sudah kenapa Reynolds Hanafi? Sejak bila kau tahu segan tahap renjatan elektrik macam ni! Rayn tersenyum sendiri sambil tergeleng-geleng. Tubuh diengsotkan sedikit berlawanan arah.
Selama ini, rakan wanita Melayu dia, baik di senarai sahabat dunia maya [w1] mahupun sahabat realiti, rata-rata berpakaian seperti orang tidak cukup duit. Memang tak pernah wujud rasa segan dengan teman wanita ala-ala Pocahontas itu semua.
Oh, kecuali dengan seorang wanita itu. Yang asalnya bertudung litup, tapi kemudian serba munafik pula! Dan tak usah dia bebelkan tentang orang lain…
Rayn toleh ke kanan. Yang seorang ini pun apa kurangnya. Dan dua tahun dahulu, dia pun kadang-kadang boleh tahan juga terikutkan rentak Kak Ann. Sebab itu juga dia sendiri adakalanya segan nak pujuk Kak Ann untuk berubah.
Apabila datang angin Kak Ann nak mengungkit, habis gaya hidup zaman jahiliah dia Kak Ann guna jadi bahan counter attack. Buat dia rasa zip mulut itu mungkin tindakan yang lebih baik.
There are no boundaries... there are no boundaries! Itu mentera hidup Kak Ann. Payah juga ada kakak perangai rockstar.
Reynolds Hanafi toleh semula ke sisi kiri.
Tapi dengan Pearl Ratna... hati nakal dia tiba-tiba macam terus pupus. Nil. Zilch. Rasa yang timbul, lebih kepada perasaan ingin memelihara. Nak melindungi si dia ini. Seringkas inikah seseorang boleh jatuh suka? Jumpa. Kenal. Klik. Begitukah?
Rayn bangkit sedikit sambil cuba mencari sesuatu di tempat letak tangan kerusi Pearl Ratna. Dengan penuh hati-hati dia biarkan hujung jari meraba di atas permukaan besi, sambil cuba mengelak untuk tersentuh kaki Pearl.
Dan sesaat kemudian dia jumpa apa yang dicari. Punat kecil itu dicuit dengan jari telunjuk kanan, sementara tangan kiri digunakan untuk menahan sandaran kerusi Pearl.
Perlahan-lahan kerusi diduduki Pearl Ratna mula ditolak ke belakang. Kepala Pearl ikut rebah dan akhirnya dibiarkan tersandar elok pada ruang bukaan berlainan sudut di antara kerusi mereka. Satu sudut selit yang selesa untuk Pearl, yang pastinya.
 Tidurlah, Pearl Ratna. Tidurlah.


BEBERAPA jam kemudian...
“Pearl...”
Tiada tindak balas.
“Peaarrlll...”
Senyap.
“Pearl-Ratna.” Bisikan ketiga yang agak laju. Ya Allah!
“Pearl.” Kali ini panggilan padu.
Kalau tak bangun juga, tak tahulah Rayn dia perlu buat apa. Panggilan dia sebentar tadi pun sudah hampir dengan wajah Pearl Ratna. Mahu rapat lagi ke? Hei, mana mungkin!
Tapi sesaat kemudian tubuh wanita itu mula bergerak.
Oh yeah lady, sudah tiba masa untuk bangun. Wakey! Wakey! Bisik Reynolds Hanafi dalam hati.
Dua jam lagi mereka akan mendarat di Lapangan Terbang Tullamarine. Hidangan makan pagi akan diberikan sebentar lagi. Nak kata bersarapan seawal jam satu pagi di tanahair sekarang ini, sangat tidak sesuai. Jetlag lagi perut dia ni. Kalau dia puasa, bolehlah dianggap sahur. Tapi niatnya jauh sekali nak ke situ. Yang ini boleh dianggap kudapan sahaja untuk dia.
Reynolds Hanafi tatap wajah Pearl Ratna. Yang satu ini... tidak syak lagi. Kudapan mata dia.
Pearl Ratna berdehem kasar, mahu melepaskan rasa sesak di kerongkong. Tangan ditakup di mulut. Tekak dia rasa tak selesa semula. Mata digosok-gosok, sedang cuba kembali ke alam realiti.
 “Hmmm, mamai.” Reynolds Hanafi tersenyum sendiri. Secawan air sejuk yang baharu diminta daripada pramugara dihulur kepada Pearl Ratna. “Minum ni dulu. Cabin pressure buat tekak kita kering, kan?”
Pearl kerdip mata berulang kali sambil menatap lelaki di sisinya.
Rayn. The gentleman. Encik Reynolds Hanafi.
Dia ingat. Pearl Ratna tutup mulut untuk sangap sekali lagi. Tahap mengantuk dia masih melangit. Dia toleh ke kiri.
Aduhai, memang masih melangit. Dan masih gelap gelita.
Pandangannya beralih semula ke kanan. Air yang dihulur, dicapai dan dicicip perlahan. Sejuk! Tapi, Ya Allah, leganya tekak dia! Pearl angguk kepada lelaki itu dan mulut tertutur bisu. 
“Sama-sama. Sekejap lagi, diaorang hidang makanan.” Rayn ulang maklumat daripada corong pembesar suara.
“Hmmm...”
Pearl selak hujung lengan baju di tangan kiri. Sudah berapa jam dia tidur? Terasa seperti baharu sahaja dia lelapkan mata. Pearl tatap muka jam. “Wow!” Dia pengsan betul nampaknya ni! Kali ini sia-sia sahaja dia usung David Levithan ke hulu ke hilir. Kemudian dia pandang Rayn, dan tunjuk ke arah simbol berlampu pada dinding di hujung kabin. 
Rayn balas dengan anggukan.
Pearl buat sedikit regangan bahu sementara menunggu lelaki itu membuka tali pinggang keselamatan dan bangkit. Sempat dia tunduk dan ambil beg kelengkapan diri.
Ada kerja penyelenggaraan yang perlu dia lakukan. Dia mahu cuci muka, dia mahu sembur pelembap wajah, nak mengalit pelembap pada bibir yang sudah terasa kering. Dia mahu touch-up tudung yang dia agak pasti sudah kerunyut. Kalau saja Cik Reynolds asal yang duduk di sebelah dia, selamba dia buat kerja naik-taraf itu semua di kerusi yang dia duduki sekarang. Dan mungkin saja Cik Reynolds pun nak tumpang sekaki.
Tapi, di sisi dia sekarang ini ialah Encik Reynolds. Encik! Tak mahulah. Segan!
Beberapa minit kemudian...
Rayn kekal berdiri di ruang laluan sambil putar buku lali 360 darjah. Selesai regangan buku lali kaki sebelah kanan, dia lakukan pada pergelangan kaki kiri. Sambil bersenam, dia perhatikan Pearl Ratna yang masih menanti dalam barisan di hadapan pintu tandas kecil.
Wanita itu boleh tahan tinggi! Sebentar tadi, tatapan mata wanita itu sama tinggi dengan aras mulut dia. Dia sendiri pun 1.75 meter. Pearl? Mungkin sahaja 1.63 atau 1.65 meter. Untuk seorang wanita, boleh dikatakan tinggi. Mungkin Kak Ann pun kalah. 
Pandangan Rayn jatuh pada beg yang ada di genggaman Pearl Ratna. Trend fesyen tahun tiga puluhan itu yang jadi pilihan wanita ini. Comel! Cik polka-polka. 
“Sudah-sudahlah tu pandang anak orang.” Dan tiba-tiba seseorang menyelinap ke tempat duduk kosong di tepi tingkap.








Hakcipta terpelihara. ©  Shirod Shukri. 2017


PRE-ORDER NOVEL PEARL!
Terbitan minggu ke-2 Januari. 
462 mukasurat 
Bulky paper
Belian online sahaja, tidak dijual di kedai buku. 





Whatsapp +6014 620 6290
Atau 
pm inbox Facebook Shirod Shukri di link ini: 

https://www.facebook.com/shirod.shukri

No comments:

Post a Comment