Saturday 30 December 2017

PEARL 05

“MENGANTUK lagi?” Rayn perasan kelat mata Pearl sewaktu hidangan sudah berada di hadapan mereka. “Awak nak kopi? Atau teh?”
“Teh.” Bisik Pearl pendek.
Rayn angguk.
Seperti hidangan pertama, kali ini Pearl jamah menu yang sama. Menguap yang Rayn perasan tadi, memang dia tak dapat kawal. Walau sudah cuci muka, dia masih mengantuk. Minum susu pula. Santapan ala-ala memanggil katil sungguh.
Sepuluh minit kemudian, isi dulang hidangan Rayn yang hampir licin, dan isi dulang Pearl Ratna yang masih penuh, diambil semula oleh pramugara. Hidangan kini berganti dengan secawan kopi dan secawan teh di meja masing-masing.
Emm, Pearl. Nanti awak balik mana?” Jari Rayn mula memusingkan pengaduk air plastik putih.
Pearl toleh ke kanan. Dia angkat kening. Ada rasa curiga timbul di benak fikiran. Dia berpergian solo. Perlu lebih hati-hati. Zaman sekarang, ada orang jahat yang berpakaian ibarat mahu ke pejabat. Sudahnya Pearl cuma tayang senyum tanpa sebarang jawapan. Dan kembali tunduk menghadap cawan teh. Tangan dia mula meniru gaya tangan Rayn.
“Bukan apa, sleepyhead-”
Pearl kembali teleng ke kanan dan bicara lelaki itu turut terhenti. Apa Rayn panggil dia? Reynolds Hanafi! Nasib sahaja dia tak boleh nak menjawab. Tapi sumpah, Pearl dah tak boleh nak tayang wajah serius lagi.
Rayn sengih. “Awak marah ke? Betul, kan?” Rayn angguk ringan. “Awak memang mengantuk lagi, kan?”
Pearl kejap pengaduk plastik di antara dua bibir. Dia nak mengelak daripada turut sama menyeringai.
Tapi ada betulnya juga apa yang Rayn katakan. Kalau dia naik bas transit nanti, mungkin sahaja dia tidur pulas sehingga ke pusat bandar. Adik beradik Reynolds ini pulang ke Central Business District juga ke? Naik bus transit yang sama? Kalau sama, boleh dia ikut sekali.
“Takkan awak nak balik CBD sorang-sorang? Lalok macam ni? Bahaya tau.” Rayn pusing-pusingkan cawan yang masih berisi. “Jangan anggap dia orang tu duduk negara maju, pemikiran pun semua maju. Ramai lagi yang tak ada kesedaran sivik. Yang sakit mental pun ramai juga.”
Pearl Ratna angguk perlahan.
Memang betul. Apa yang Rayn cakap sama seperti apa yang berlaku di kejiranan lama dia. Di tengah Bandar Melbourne juga. Seorang jiran lelaki telah ditangkap. Dia selalu anggap lelaki yang berusia awal 30-an itu pelajar juga, sebab nampak sivil 24 jam. Dengan gaya nerdy, dan sentiasa nampak kemas. Tapi di sebalik gaya mesra dengan anak-anak jiran yang lain, lelaki itu rupa-rupanya pesalah kes pedophilia yang sedang diburu polis. Betapa naifnya pengamatan dia.
Sekarang ini, kalau dia beritahu Rayn yang dia akan pulang ke arah mana, apa akibatnya? Pearl Ratna capai buku nota dan letak di atas penghadang antara tempat duduk mereka. Pen yang terselit lama di poket kerusi kini diambil semula.

La Trobe St.

Kemudian bibirnya bertanya bisu ke arah Rayn. Awak?
Tapi lain pula jawapan yang dia terima. Lelaki itu sudah tayang wajah terkejut. Apahal ni?
“Ya Allah! Pearl!” Rayn raup wajah. “Dekatnya rumah kita!
Pearl gantung kening. Maksud? Dekat? Dekat yang macam mana? Orang lelaki memang suka cakap ayat tergantung ke?
“Pearl, saya tinggal dekat Arrow, dekat Swanston Street. Awak di La Trobe Street. Pearl Ratna, kita berjiran!”
Pearl ketap bibir sambil renung sepasang mata buntang di sisinya. Mereka berjiran? Mana ada! Pearl geleng sambil sua cawan teh sedikit. Kemudian teh dicicip perlahan-lahan. Dia masih tak gemar bercerita tentang butiran rumah kepada orang yang baharu dia kenal. Cukuplah dia berikan nama jalan sahaja. Boleh kan?
Reynolds Hanafi angguk. Okay, let’s take it easy! Mungkin dia perlu cool down sedikit. Pearl nampak terkejut dengan kenyataan ini. Kenapa? Ah, think positive.
Mungkin sahaja si dia ini mahu menikmati teh suam di genggaman. Dia pun peminat tegar kopi hangat. Dia faham nikmat minum air di kala masih suam. Tapi kalau beri dia mocha, lagi dia layan. Cawan kopi di tangan sendiri di bawa ke mulut.
Allah! Tak feeling langsung! Sekarang dia betul-betul mahukan taruhan antara dia dan Kak Ann. Cawan diletak semula di atas dulang plastik.
Rayn toleh ke sisi. “Kak Ann...”
“Hmmm?”
Kakak dia sedang layan chai. Pasti tanpa gula. “This is too bland! I nak Max, sekarang.” Dan Kak Ann setakat cemik hidung. Kak Ann faham bukan apa yang cuba dia sampaikan?
“Jangan harap, brother!” [w1] Hanani jawab sambil tersenyum sinis.
Rayn cebir sedikit. Oh, macam tu ya, Kak Ann? Kak Ann bajet dia tak ada harapan? Pandang rendah sungguh pada dia! Baik. Dia akan dapatkan juga alamat dan nombor telefon Pearl. Percayalah. Oh, dan secara sukarela. Bukan dia yang minta. Tengoklah nanti! “You’ll see.
Laju Hanani toleh ke arah Rayn. Adik dia sudah dapatkan alamat sebenar Pearl? Nombor telefon?
Rayn gerak-gerakkan kening sambil ketawa nipis. Terus kakak dia tayang muka marah sambil ketap gigi. Padan muka!
Sejenak kemudian Rayn terfikir kembali, La Trobe dan Arrow? Bayangan minda mula terlakar. La Trobe di sebelah situ. Arrow di sebelah sini. Tapi, Jalan La Trobe itu panjang. Blok mana? Bangunan yang mana satu?
Pearl Ratna turut alih pandangan ke luar jendela. Bayang peta lokasi dua jalan mula terilusi di sebalik imbasan di tingkap. Dia tahu bangunan Arrow yang Rayn maksudkan itu bangunan yang mana satu. Awal-awal kuliah dulu, setiap hari dia lalu di hadapan suite apartment itu untuk pergi ke kampus.
Bangunan di Melbourne tersusun dalam petak blok, terpisah dengan grid jalan raya. Bangunan Arrow On Swanston, lokasinya di blok kejiranan di atas bukit. Apartment yang dia sewa terletak di hujung blok satu lagi, di sekitar kawasan hujung kaki bukit. Sebab itu dia tak setuju apabila Rayn kata mereka berjiran.
Jiran itu, untuk yang tinggal berhampiran, Encik Rayn. Over betul ayat lelaki ini. Mereka sekadar berjiran-blok sahajalah!
Kalau nak kata betul-betul berjiran, haaa... apartment yang dia duduki sememangnya berjiran dengan kampus Rayn. Sepelaung sahaja. La Trobe Street dan Swanston Street, dua jalan yang bertitik silang di hadapan kampus RMIT.
Teman serumah dia, seorang peminat setia butang snooze. Sudah terlajak waktu, baharu nak bangun. Apabila sudah lewat, cuci muka sikit-sikit, tukar baju, sembur minyak wangi, zaasss. Teman serumah itu lesap ke kampus.
Tak mandi? Dia selalu bebelkan hal itu. Tapi jawab si teman serumah, ‘Alah, mat saleh pun tak mandi juga.’
Memang betul pun, nak kata apa lagi. Pensyarah dia pernah datang ke kampus untuk sesi kuliah mereka dengan gaya pakaian serba ringkas dan rambut masih ala bedhead. Nampak sangat baru bangun tidur. Selamba aje.
Itu belum lagi waktu tiba musim sejuk. Bau dalam tram ibarat bau sebuah bilik tidur yang tak buka tingkap berbulan-bulan. Musim sejuk lepas, dia lebih rela jalan kaki daripada bersesak dalam tram. Rimas!
Tapi waktu itu, dia memang disarankan jalan kaki selalu. Baik untuk kesihatan dia sepanjang tempoh itu. Saat macam tu, pandai pula dia pasang niat nak cepat-cepat balik Malaysia. Mahu berkereta. Tapi apabila datang godaan hidup yang agak selesa di Ozzy, rasa nak berpaling tadah datang kembali.
Sekarang ini, dia pasang misi lain. Dia mahu bekerja di luar negara sampai berkepuk duit dalam akaun Commonwealth Bank dia tu. Rancangan dia kembali ke Melbourne untuk kali ini, dengan resolusi khas.
Pearl tahu dia sentiasa dahagakan ilmu, dahagakan pengalaman. Dia nak teruskan belajar-cara-mengajar daripada sudut pandangan dunia kelas satu. Itu alasan dia beritahu mama dan ayah. Niat tersirat dia yang satu lagi itu, tak siapa tahu. Sebenarnya, tak perlu sesiapa pun ambil tahu.
Dia tahu mama dan ayah dah tak yakin dengan dia. Tapi Pearl nekad. Sudah tiba masa untuk dia cipta sejarah sendiri, dengan misi untuk diri sendiri, bukan lagi untuk orang lain.
Keputusannya, dia nak bermastautin luar dari tanah sendiri, jauh di bumi kanggaru.
“Pearl...”
Panggilan yang membuatkan Pearl Ratna toleh kembali ke kanan. Cawan teh di tangan kanannya dikerling. Sudah hampir kosong rupa-rupanya. Dia hirup sehingga tak sedar teh itu sudah surut. Pearl letak cawan di atas dulang kecil. Pandangannya fokus semula ke wajah Rayn. “Ya?” Bisik Pearl dalam suara parau.
Rayn tayang buku nota.
Pearl Ratna alih pandangan, merenung helaian yang sudah berconteng. Bila masa lelaki ini lakar peta kasar kawasan CBD? Ada lukisan jalan di lokasi rumah dia, ada lokasi rumah Rayn. Ada lakaran RMIT, dan Jalan Swanston yang panjang itu serta bangunan petunjuk yang lain. Lakaran cincai, tapi... menarik! Boleh tak kalau dia nak siat lakaran ini dan letak di atas meja di kampus?
“Kita tinggal dalam satu kawasan. We mingled within the same few blocks.” Pen ditangan Rayn beralih-alih antara lakaran La Trobe Street dan apartment Arrow.
Jeda.
Pearl Ratna hanya angguk mengiyakan fakta disenaraikan lelaki itu. Kening dia sahaja yang mengacu persoalan, ‘jadi?’
“Tadi awak tulis, awak dah separuh tahun tinggal dekat Melbourne. And I assumed you went to campus on a daily basis too.” Sama seperti dirinya. Pelajar pasca siswazah kebanyakannya amalkan waktu pejabat, bukan? Tokok Rayn sendirian.
Pearl Ratna telan liur.
Nope, Rayn. Not me. Not for the last three months. Balas Pearl dalam hati. Peritnya hakikat ini. Tapi dia tayang wajah sesempurna mungkin. Tak perlu dia tunjuk sebarang riak kepada lelaki ini.
“Tapi, kenapa kita tak pernah berjumpa atau terserempak ya?”
Pearl senyum. Soalan itu, dia ada sebahagian besar jawapannya. Dia tahu kebarangkalian kenapa mereka tidak pernah bertemu. Tapi perlukah dia beritahu? Rasanya tak perlu. Lelaki ini siapa? Tak relevan.
Pearl Ratna tayang senyum kosong. Dan dia jongket bahu. Wajah yang berkerut penuh musykil di sisinya itu direnung bersahaja.
Entahlah Encik Reynolds Hanafi. The real answers are for me to keep, and for you to ponder upon. So, keep on wondering, mate!

__________________________


Hakcipta terpelihara. ©  Shirod Shukri. 2017


PRE-ORDER NOVEL PEARL!
Terbitan minggu ke-2 Januari. 
462 mukasurat 
Bulky paper
Belian online sahaja, tidak dijual di kedai buku. 





Whatsapp +6014 620 6290
Atau 
pm inbox Facebook Shirod Shukri di link ini: 

https://www.facebook.com/shirod.shukri

No comments:

Post a Comment