“OH, NO NO NO NO… NO!” Pantas Rayn kembali duduk. Tangan kiri
mula menongkat dagu antara dua kerusi. “Kak Ann, nanti dia balik semula, leceh.
You balik semula kat tempat tidur tadi.”
Hanani mencemik. “Sedar diri sikit ya.
Kerusi yang awak duduk ni, tiket asalnya nama siapa?”
“Hello, makcik-” Reynolds Hanafi
pandang tajam mata kakaknya. “Tempat tidur second
class tadi tu, siapa yang sedekah ya?”
“Terima kasih atas ihsan pakcik.”
Hanani sengih. “Tapi sekarang saya dah segar, pakcik. Mata dah besar dah ni.
Tukar, please.”
“Sama-sama. But no way.”
“Kenapa pulak?”
“Once
switched, considered ditched.”
“Oh, macam tu ya. Kerek rupanya dia ni ya? Pakcik Rayn, I demand, you pulangkan balik tempat duduk I.” Hanani tuding telunjuk
ke kerusi seberang. “Immediately.”
Rayn geleng. “Nope. Muktamad.”
“Sampai hati tau.” Hanani cebik
mengalah. “Kak Ann mengantuk sangatlah tadi. Dah tak boleh tahan.”
Rayn tatap wajah kakaknya. “Rayn dah
bagi tahu kan, malam kita nak fly,
cuba sebelum tu jangan pergi kelab. Boleh tak? Apa yang susah sangat?”
“Shussh.”
Hanani kemam bibir. Kemudian dia peluk tubuh dan toleh ke ke arah tingkap.
Rayn hanya menggeleng. Kak Ann memang
tak makan saman. Tak kira mereka di Malaysia ataupun di Australia, aktiviti
tunjuk langit itu memang tak boleh dihentikan agaknya. Dia tahulah kakak dia power. Kak Ann kalau togak air itu
bergelas-gelas baharu dapat kesan bintang-bintang. Tak macam dia. Kalau dia,
tak usah dibezakan tahap mabuk dia dengan Kak Ann. Buat malu aje.
Rekod lama dia dulu, paling high satu German mug sahaja. Selepas itu, Kak Ann perlu tukar status jadi babysitter dia pasca setiap aktiviti qalabul-malami mereka. Tapi itu semua
kisah lama dia. Kisah, suatu, waktu, dahulu. Kisah pra-sejarah dia. Terasa
sudah lama dia tinggalkan gaya hidup bodoh itu.
“Sepatutnya malam tadi you dah boleh
tarik brek, berhentilah sekejap kalaupun tak boleh nak berhenti langsung.” Tapi
Rayn tahu, Kak Ann tetap nak keluar berjumpa kawan-kawan. Katanya kawan-kawan
yang belanja, parti selamat tinggal. Selamat tinggal apanya! Hujung tahun
nanti, waktu cuti Hari Krismas dan Tahun Baharu, mereka akan pulang semula ke
Johor.
Rayn pandang wajah kakaknya yang kekal
berdiam diri. “Cuba Kak Ann tengok muka Kak Ann, dah tak serupa orang.
Serabut!”
“Rayn!” Cepat-cepat Hanani betulkan
bunjut cekak rambut.
Betulkah apa yang Rayn cakapkan tadi?
Dia toleh semula ke kiri. Tingkap kecil berlatarbelakang langit gelap dijadikan
cermin untuk belek wajah. Mak ai! Garis hitam di bawah mata dia memang nampak
ketara! Tapak tangan mula laju buat urutan refleks pada segenap wajah.
“Tak payah nak tepuk-tepuk, Kak Ann.
Makin banyak Kak Ann teguk benda tu, makin kerepot muka you. Kalau tak percaya
apa Rayn cakap ni, kita tengok setahun dua lagi ya. Kita tengok…” Reynolds
Hanafi lepas keluh. “I yang remain
muda, atau you yang makin tua.”
Bukannya Rayn tak pernah pesan pada Kak
Ann tentang kesan alkohol ikut pandangan logik. Sudah berbuih mulut dia. Kalau
sentuh bab dosa pahala, kakak dia terus tutup telinga. Hanya kesan kecantikan
luaran itu sahaja yang menarik minat Kak Ann. Alasan fashionista yang dia gunapakai. Alasan murahan sungguh. Tapi itulah
realitinya.
Hanani lepas keluhan perlahan. Dia tahu
ada kebenaran dalam kata-kata Rayn, tapi memang payah dia nak tinggalkan tabiat
yang satu ini. Sudah banyak kali dia cuba, bukannya dia tak cuba langsung.
Rekod insaf dia yang paling lama setakat 36 jam sahaja. Dia tahu tahap risau
Rayn macam mana. Adik dia. Dia faham luar dalam. Tapi...
“Kak Ann...” Reynolds Hanafi angkat
kening sambil merenung mata yang seiras macam mata dia. Bukan setakat itu,
serba-serbi di wajah mereka berdua memang seiras, cuma kakak dia ni terlebih
sedikit genetik mommy. Tapi itulah
aset tambahan Kak Ann.
Saham mereka melambung ke mana sahaja
kalau berjalan berdua. Ditambah dengan gaya baju Kak Ann yang macam bumi ini
sudah terlampau global warming. Pasti
ada sahaja mata yang melirik, bibir yang bersiul-siul nakal mengikut jejak
langkah Kak Ann. Macam mana dia tak risau kalau Kak Ann ke kelab tanpa dia.
“Apa Rayn? Nak cakap, cakap ajelah.
Main pause-pause pulak.”
“Dengarlah cakap Rayn ni, Kak Ann. You
kena berhenti buat semua ni. Kalau mommy
dengan abah tahu, dia orang mesti frust.
Bayangkan kalau waktu mommy buat spot-check, and you dalam keadaan macam ni, cuba bayangkan.”
Hanani geleng. “I know. Someday I’ll stop.” Hanani buang pandangan ke luar tingkap.
“Bila?”
Bila ya? Hanani ulang soalan Rayn di
dalam hati. Dia sendiri pun tak tahu.
“Kalau you tak boleh-“
“Rayn...” Hanani toleh laju ke kanan.
“Tolonglah. Not now, please?” Dia
pejam mata sesaat. “Hangover akak
baru nak settle down. Besok ya you
tazkirah?”
Reynolds Hanafi geleng. “Dah. Balik
dekat kerusi sana tu. Nanti dia balik sini semula.”
“Pffft...”
Hanani tujah pandangan ke atas sesaat dua. Dan kembali toleh menatap Rayn.
“Orang perempuan tetap orang perempuan, Rayn. Walau di mana kami berada. Walau
siapa dia.”
Hanani sentuh ubun-ubun si adik. Rayn
cuba mengelak, jadi dia tepuk terus. Padan muka!
“Kak Ann ni…” Rayn betulkan rambut
dengan bantuan biasan pada skrin kecil selaras mata.
“Sila register satu fakta ni kat dalam minda anda ya, dear brother. Kalau Rayn nak tahu, orang
perempuan ni, kita orang boleh tukar petak kecil saiz dua kali tiga tu...”
Hanani tuding ke arah tandas di hujung kabin. “Petak kecil tu boleh jadi macam
ala-ala cermin belakang pentas Victoria’s
Secret, tapi yang istimewanya, ini VS
di awan biru.”
“Awan tak biru, langit yang biru.”
“Whatever...”
Kemudian Hanani genggam laju pergelangan tangan kiri Rayn. Mata turut
dibuntangkan. Dia berbisik perlahan, rapat di telinga Rayn.
“Eh, dia tak bisu kan?” Itu sebenarnya yang Hanani mahu tahu.
Rayn geleng perlahan. Bibir dia dah tak
boleh nak sembunyikan senyuman.
“Tapi dia berbual tak dengan you?”
“Hish.” Rayn berdecit. “Tiba-tiba aje
tukar topik. Tadi bukan ke kita tengah bincang pasal you.”
“Detour,
brother. Hidup kena pandai cilok-cilok.”
Hanani sengih tanpa rasa bersalah. Adik dia buat muka macam orang bersalah. Ini
siapa yang bersalah sebenarnya ni? “Alaa... chill
lah. Dia boleh bercakap tak?”
“Adalah juga,” jawab Rayn hambar.
“Apa maksudnya tu?” Dahi Hanani makin
berkerut.
“Dia tak bisu. Dia tulis aje apa yang
dia nak cakap dekat dalam ni.” Rayn tayang buku nota kecil yang boleh menjadi
bahan bukti hampir 70 peratus perbualan mereka. Baki 30 peratus lagi, hanya dia
sahaja yang lebih banyak bersuara. Si Mutiara hanya pasang telinga, senyum,
ketawa kecil, dan buat pelbagai aksi wajah, yang kini sudah terbayang satu
persatu di ruang mata dia.
Hanani rampas buku nota kecil itu saat
adiknya kelihatan leka.
“Nak tengok.” Tapi tak sempat dia nak
menyelak satu muka surat pun...
“Mana boleh! Ini rahsia sulit.” Buku
itu Rayn rapatkan kembali di dada.
“Laaa, macam tu pulak. Okay tak nak
bagi kita baca, tak apa. Tapi bet
kita tadi, tetap jadi ya? Rasa-rasanya Rayn atau akak yang nak kena keluarkan
duit ni? Cuba cakap.” Hanani petik-petik jari.
Rayn jeling kakaknya sekilas. “Yang
itu... belum muktamad lagi ya, Cik Rusa Nani. But I think you are the one who will need to take out some cash. Bukan
Rayn.”
“Yakin nampak?” Hanani melirik penuh
sinis.
“Oh
yeah. Mestilah.”
“Dah dapat nombor telefon, alamat dia
semua?”
“Kak Ann bersiap sedia aja.” Rayn
kenyit mata.
“Sungguh ni?”
Rayn angguk. “Rayn nak rasa semua yang
ada kat menu Max tu. Hari pertama, Rayn nak sarapan choc chai putih, siap dengan wafel Belgian. Makan tengah hari, kita
makan coklat panas berkaramel dengan pizza coklat. Minum petang dengan choc fondue. Hmmm…” Kelopak mata ditutup
rapat sesaat dua. “Malam pulak, kita tak payah makan berat. Kita makan mufin
coklat, cukup.”
“I rasa I sebut nibbles aja tadi.”
Rayn ketawa pendek. “Tak payah nak
tercabut dagu sangat.” Rayn bantu rapatkan mulut Hanani dengan hujung jari
ditekan di bawah dagu. “Masukkan dalam bajet you, Kak Ann. Kak Ann belanja
Rayn...”
Rayn tayang jari telunjuk menegak.
“Satu minggu.”
Kemudian dia tayang tujuh jari. “Bersamaan
tujuh hari, ya?” Yakin sungguh ni, detak hati Reynolds Hanafi. Nombor telefon
dan alamat di mana Pearl tinggal pun masih belum ada dalam bayangan. Cari pasal
sungguh. Silap-silap, ayat makan tuan.
“Menempah migraine nampak.”
“Eh hello.
Saya, tak ada masalah ya dengan ramuan cacao.”
Cebik Rayn, agak bangga. Kakak dia sudah menjeling tajam.
“Mana boleh makan hasil taruhan.”
“Laa... tadi dia yang offer kita. Dah rasa nak kalah, kan?
Betul tak? Betul, kan?” Melihatkan kakaknya tayang wajah tanpa reaksi, Rayn
genggam pergelangan tangan Hanani. “Kira you belanja I makan ajelah. Jangan
anggap bet. You halalkan. I terima.
Anggap ia suatu sedekah.” Tangan kiri Rayn kembali menongkat dagu sambil dia
tayang sengih lebar. “Tapi kan Kak Ann, entah lah ya. I think…” Rayn bersandar kembali, sambil pandang kosong ke arah
skrin tv kecil. “I think…”
“I
think, I think...” Hanani genggam lengan kiri Rayn. “You think apa!”
Rayn tergelak kecil. “I think, kali ni tahap yakin Rayn memang
ada lebihhhh... sikit. Gadis muslimah, Kak Ann. For once!” Hormon senyum Reynolds Hanafi mencanak.
“Gedik!” Hanani jeling adiknya sekilas.
Tapi betul kata Rayn. Ini pertama kali adik dia ini suka pada seseorang dengan
gaya berbalut begini. Si calon itu, berapa agaknya usianya ya? Nampak gayanya
agak matang.
“Dia belajar jugak ya? Kursus apa? Uni
mana?”
Rayn geleng tanpa alih pandangan.
“Terlalu banyak soalan, inspektor-sahab.”
Hanani ketawa. “Please, bagitaulah.”
Rayn tatang tapak tangan menghala ke
kerusi di sebelah kanan. “Nanti dia balik sini, kepochi-lah you ni.”
“Dia student kan?”
Rayn lepas keluhan pendek. “Yupp. Dia belajar dekat uni Kak Ann
dulu. Post graduate.”
“Master?
PhD?”
“Master.”
Rayn tatap wajah Hanani. “Dia belajar cara mengajar seni untuk kanak-kanak.
Okay, dah cukup fakta? Selesai risikan?” Dua keningnya mula digerakkan,
berselang-seli ke atas ke bawah.
“Isshhh.
Janganlah buat macam tu!”
Rayn tersenyum sendiri.
“Suka buat akak macam ni tau!” Hanani
gosok dua lengan yang terdedah. Gelinya!
Rayn ketawa. Dia tahu kelemahan Kak
Ann. Belum dia buat chest-flex lagi.
Mahu bergolek terjerit Kak Ann di lantai pesawat ini karang. Tapi buat masa
ini, dia perlu buat apa sahaja idea drastik. Kalau Pearl Ratna kembali nanti,
ada pula yang bertukar teman duduk. Dia belum cukup mengenali wanita itu. Mana
boleh!
“You cakap tadi dia belajar tentang
apa? Tentang kanak-kanak?”
Rayn angguk. Dia malas nak bersuara.
Berapa kali mahu tanya daaa… Kalau
dia layan, Kak Ann tak akan mahu berganjak. Lebih baik dia buat hal sendiri.
Buat-buat sakit tekak, macam Pearl.
“Hmm, ini sangat menarik.” Bisik Hanani
sendirian. Dia tahu Rayn mula bolayan soalan
dia. Tak mahu bercakap dengan dialah tu! Daripada kecil sampai besar, macam itu
juga. Okay, mari kita lihat siapa yang akan halau siapa.
Sehingga hampir satu minit berlalu...
“Kak Ann?” Bisik Rayn tanpa menoleh.
Kakak dia ni tak mahu beralih ke?
“Hmmm?”
“Move,
your…” Perkataan merujuk kepada anggota badan yang perlu dibangkitkan itu
Rayn sebut tanpa suara.
Dan laju satu tepukan hinggap di lengan
Rayn. “Kurang sopan punya adik!”
Rayn ketawa sinis.
Setelah gencatan mulut seminit dua,
Hanani toleh kembali menghadap ke sisi kiri Rayn. “Dia fakulti mana?”
Rayn berpaling. “Siapa?”
“Siapa lagi.” Hanani tuding jari
telunjuk pada kerusi yang dia duduki.
“Ya Allah, Kak Ann, you baru berapa
tahun aje habis belajar?” Kakak dia ni selang tiga tahun saja dengan dia.
“Takkan processor you dah slow kot. Orang education, tentulah dari Graduate
School of Education.”
Hanani angkat dua tangan, menyerah
kalah. “Sorry, sorry. My brain jetlag lagi.”
To
get rid of Kak Ann.
Itu misi Rayn sekarang ini. Ibu jari dia mula lenguh menekan butang di alat
kawalan. Tak ada cerita yang menarik pun. Semua in-flight movies sudah ditonton di wayang. Lebih baik dia tengok
peta di mana lokasi mereka berada sekarang. Atas lautan? Atau di atas
gunung-ganang? Puas dia tekan-tekan punat, akhirnya skrin mula menayangkan
grafik biru gelap laut dan hijau bumi.
“Down
Under, kita dah nak sampai.” Bisik Reynolds Hanafi.
Hanani turut memandang ke arah skrin.
Grafik penerbangan mereka kini sudah jauh menembusi perimeter bumi kanggaru.
Sudah di atas kawasan selatan Australia.
Seketika kemudian Rayn pandang kakaknya
semula. Untuk sesaat, dia ibarat terkelu. Nak beritahu Kak Ann atau tidak?
“Apa?” Hanani renung mata adiknya. Mata
itu penuh aura senyuman. Dan ada banyak juga persoalan dalam benak si pemilik
mata. Dia tahu.
“Dia… interesting, Kak Ann.” Rayn tersenyum sendiri. “Dia macam ada...
ada style tersendiri. Macam luar
biasa sikit, tak macam yang biasa-biasa. She’s…
a gem. I could sense that.”
Hanani senyum mendengarkan suara Rayn
yang sudah bertukar nada. “Lain macam je bunyi tu.”
Tapi kali ini Reynolds Hanafi hanya
balas dengan senyuman bermakna.
“Elaborate.
Nak tahu juga, magneto sangat ke?”
“Sangat-sangat!”
Hanani turut menyeringai. Amboi, adik
dia siap jegil mata. Dan jawapan Rayn tadi kedengaran sangat jujur. Inilah yang
seronok ni. Hanani tongkat dagu.
Adik dia kalau sudah jatuh suka, suka
sungguh-sungguh. Kalau sayang, sayang dalam-dalam. Tapi jaga-jaga. Kalau adik
dia benci, benci sampai mati juga. Sudah lama dia tak dengar Rayn berceloteh
topik suka-sayang macam ni.
Sudah berapa lama adik dia ini
‘menduda’? Dua tahun kot. Dia dengar
cerita, bekas buah hati Rayn, minah sesumpah
yang kadang-kadang bertudung litup di siang hari, tapi sebenarnya berambut
karan celup di malam hari dahulu itu, sudah dua kali ‘menjanda’ semula. Rayn
juga yang selamba melayan semua wanita yang mengendeng sama macam Rayn layan
sahabat-sahabat lelaki lain.
Sekian lama Hanani perhatikan Rayn.
Adik dia ibarat sudah kematu hati. Stone.
Macam orang tak ada perasaan. Dan yang paling merisaukan dia, sejak akhir-akhir
ini, Rayn hanya rapat dengan Jay.
Jay itu bukan nama gelaran untuk
Jennifer. Bukan juga untuk Juita. Malahan bukan gelaran Jayanthri. Tapi...
Jordan Ghazi! Kenalan mereka, bujang anak pak arab. Benak dia seringkali sesak
dengan soalan ‘Tak mungkin Rayn bertukar selera, bukan?’ Tapi saat ini dia
boleh padam syak wasangka itu daripada ingatan dengan penuh yakin. Nasib baik!
“Now,
bagitahu akak, calon ni masuk poket mana?” Dan dia biarkan Rayn
tersenyum-senyum sendiri.
Bercakap tentang ‘poket’, hanya mereka
berdua sahaja yang faham kod itu. Adik dia punya analogi. Rayn ini, muka saja omputih. Tangki jiwa, penuh rasa Melayu.
Rayn peminat nombor satu busana orang
Johor, baju Melayu Teluk Belanga. Lengkap dengan skil lipatan samping berdagang
dalam. Nama gaya lipatan itupun dia belajar daripada Rayn. Kalau tak, haram dia
tak tahu. Kata Rayn, ada lipatan berdagang dalam, ada juga lipatan berdagang
luar. Ah, macam-macam. Dia tak boleh masuk pemikiran line fesyen zaman dahulu kala
itu semua.
Rayn peminat pantun Melayu. Juga
peminat fanatik cerita Melayu lama, dan adik dia tanpa segan pernah ikuti kelas
pendek mengenali tarian zapin waktu mereka balik ke Pontian dulu. Sangat
Melayu. Berbanding diri dia sendiri yang dah, umm, sudah lalui fasa pengantarabangsaan? Ya, logik!
Analogi Rayn, dua poket pada baju
Melayu Teluk Belanga itu lambang lokasi istimewa. Hanya mereka yang istimewa
‘masuk’ kod poket tertentu.
Setahu Hanani tak ada seorang pun
kenalan wanita Rayn yang tersenarai ke poket kanan. ‘Janda’ lama Rayn itu pun
setakat poket belah kiri. Poket kiri bermaksud standard biasa-biasa sahaja.
Tapi apabila sudah putus cinta, si janda tersemat masuk poket belakang seluar
jeans Rayn. Turun taraf. Demoted. Itu
baharu betul-betul down-under.
Kali ini, si dia yang Rayn berkenan ini
nampak macam ada potensi disimpan di salah satu poket hadapan. Cuma yang tak
seronoknya, sekarang ini Rayn masih uji kesabaran dia dengan kelip-kelip mata. Poket
kanan atau poket kiri?
“Cepatlah bagitau!” Gesa Hanani.
Rayn tutup kelopak mata beberapa saat.
Kak Ann tanya kod poket ya? Terasa sudah lama dia tak fikirkan hal sebegini.
Sebenarnya, dia mula tak mahu percaya akan adanya rasa nak memiliki teman
istimewa. Selama hampir dua tahun ini, dia rasa hidup membujang pun okay. Free-trade di mana-mana. Sehinggalah ke
hari ini. Kali ini berbeza. Saat ini dia dapat rasa ada satu kelainan pada
wanita itu.
Dua saat kemudian, Rayn tepuk salah
satu sisi pinggul. Kod poket rahsia mereka mahu diisytihar dengan penuh bangga.
Dan reaksi spontan Kak Ann memang patut
direkod! Reynolds Hanafi tak dapat menahan tawa.
“Holy-dooly...”
Si kakak terbisik perlahan.
Rayn cekak dagu Kak Ann. “Muka tu…” Kak
Ann masih terbeliak dan ternganga serentak. “Tak boleh nak buruk lagi ke?
Buruklah!”
“Bwowdi
booty!” Hanani pantas menggeleng, melepaskan cekak jemari Rayn. Mereka
sama-sama tergelak kecil. Dia nak sebut bloody
beauty, tapi lain bunyinya yang keluar. Rayn-lah ni!
Rayn takup dua tangan pada wajah
sendiri.
“This
is so unbelievable.” Dia lebih tak percayakan reaksi Kak Ann berbanding
jawapan sendiri. Kak Ann dan ayat-ayat diva! Berpisah tiada!
“Ini… ini berita penting ni, Rayn!”
Haruslah. Ini keputusan Rayn buat julung kali. Adik dia tepuk pada poket yang
paling afdal. Macam mana dia nak percaya?
“Believe
me, kakakku.” Rayn sandarkan kepala pada kerusi. Mana Pearl ni? Kenapa
lambat sangat?
“You
know what, abah kena tahu. Mommy
pun. I am going to be the first person to
tell mommy. Let me be the one who
breaks the news okay?”
“Oh you memang sesuai jadi anchorwoman.”
“Mesti mommy tak percaya. And I
should tell Henry. And Jay… And Deja.”
“Wha...”
Rayn tujah pandangan melangit. Nampak sangat kakak dia ini becok kelas atasan.
Dia baharu nak pasang kekuda aje dengan gadis muslimah itu.
Kalau Kak Ann nak beritahu Jay dan
Deja, geng hu-ha mereka di Swanston,
dia boleh terima. Tapi Henry tu… isy!
Come on, lah! Henry tu bukan
siapa-siapalah. Setakat baharu nak mengurat kakak dia, belum tentu dapat. Kak
Ann sekadar kawan suka-suka aje dengan lelaki OZ itu. Dia tahu sangat selera
sebenar Kak Ann bagaimana.
“Nantilah kita cerita, Kak Ann. Cerita
dekat rumah ya? Tak ada perasaanlah nak cerita panjang lebar dekat sini.”
Reynolds Hanafi mula tukar riak wajah.
Dia tatap Kak Ann dan tayang wajah semanis madu. “Tapi sekarang, tolonglah Kak
Ann ku sayang, please.”
Hanani sudah tertawa kecil. Sebenarnya
seronok juga dapat mempermainkan adik dia ini.
“Balik tempat duduk Kak Ann dulu, okay?
Please let me have some extra moments
with this gem, will you sis? Untuk...” Reynolds Hanafi toleh ke arah Rolex
Deepsea pemberian ayah di tangan kiri. “For
just another two-itsy-bitsy hours...”
Hanani kenyit mata kanan. Dia mula
bermain dengan ibu jari dan telunjuk kiri kanan. “Itsy-bitsy-spider...” Hanani mula menyanyi perlahan. “Climbed up the water spout... down came the
Rayn... errr...” Jemari Hanani yang memanjat tiba-tiba melambai sopan ke
arah atas kepala Rayn. “Hai...”
Rayn turut tertoleh ke arah kakaknya.
Kenapa berhenti menyanyi? Lirik lagu kegemaran dia semenjak di zaman
kanak-kanak itu tiba-tiba sahaja tamat. “Kak Ann?”
“Rayn, tak nak kenalkan akak dengan
kawan you ni?” Hanani tepuk lutut kiri Rayn sambil tersenyum lebar.
Ligat Rayn bangkit dari kerusi. Sempat
dia goyang-goyang kening kanan sambil tatap wajah Kak Ann.
Ini klu terakhir, Kak Ann. Tolonglah.
Tolonglah jangan hancurkan rancangan dia kali ini, doa Rayn dalam hati.
Rayn tatap kembali wajah Pearl Ratna. And this is... Wow! Wow! This is real akoya!
Kecantikan asli tanpa secalit solekan. Sempurna. Setaraf koleksi mutiara
terbaik dunia itu.
Dan monolog hati Rayn itu buat dia
sendiri tak perasan tingkah Kak Ann. Rupanya Kak Ann sekadar beralih daripada
tempat duduk 34A ke tempat duduk 34C. Saat dia toleh kembali...
“Kak Ann.” Rayn rasa tertipu, sungguh!
Menyesal dia hilang fokus sebentar tadi. “Ermm Pearl, ini Reynolds Hanani.
Kakak saya. Kita dah cerita tadi.”
Pearl angguk dan dia hulur salaman.
“You cerita apa tentang akak?” Selepas
berbalas salam, Hanani masih mendongak mencerlung menatap Rayn, tetapi dua kaki
dilipat di lutut, diangkat sedikit, untuk membuka laluan kepada wanita itu.
Sebelum tidur tadi, Hanani tak pandang
wanita ini betul-betul, sekadar sekilas dua sahaja. Apabila dapat tatap rapat
begini baharu dia perasan. Cantik, boleh tahan.
Ada sesuatu yang menarik di wajah bujur
sirih itu. Patutlah Rayn kata istimewa. Wajah itu, tanpa secalit solekan, sudah
nampak segar. Tapi betulkah tanpa make-up?
Dia pun perempuan, dia tahu. Solekan wanita hari ini, bukan boleh dipercayai. Nude look, natural look, you name it.
Boleh sahaja dibuat.
“Tak ada apa, Kak Ann. Cerita perenggan
pertama je, bab pengenalan. No worries.”
Bisik Rayn. Kak Ann, bangkitlah. Dia segan berbual sambil berdiri di tengah
lorong begini.
Hanani kecilkan mata sambil menatap
Rayn. Boleh percaya ke? Kemudian Hanani toleh memandang wanita itu semula.
“Maaf, I nak tengok luar tadi, tapi tak nampak apa pun. Gelap aje. Urm, siapa nama you tadi?”
“Pearl R-ehghrmm...” Parau. Pearl tutup mulut dengan tangan kanan. Ada pula
tambahan batuk kecil berangkai.
Terlepas decit kecil di mulut Rayn.
“Ssyyy.” Kak Ann ini pun satu, bukankah
dia dah beritahu tadi yang si dia ini sakit tekak. Atau dia belum beritahu ya?
“Okay, girls. Cukup. Sila duduk kat
tempat masing-masing. Kak Ann?”
“Pearl?” Soalan itu terluah di mulut
Hanani sambil bangkit dan beralih ke lokasi kerusi-katil.
Setelah Pearl selesa duduk, Rayn ikut
sama duduk di sisi. Tangan dia mula menggagau mencari sebelah lagi tali
pinggang keselamatan. Mana pergi?
Sesaat kemudian Rayn jumpa apa yang
dicari, tapi kepala tali pinggang itu terselit di ruang tengah antara tempat
duduk mereka. Satu hal pula dia perlu selok tangan untuk keluarkan besi itu.
“Pearl?”
Eh kakak dia ni, ada lagi! Rayn toleh
sekilas. “Yes, Kak Ann. Nama dia
Pearl.”
“Waahh…”
“Ssyyy!
And yes, that’s a typical reaction too. Kak Ann, duduk.” Rayn balas dalam
ketap gigi. Sekarang dia faham kenapa Pearl kata reaksi macam ni adalah reaksi
normal.
Pearl tersenyum melihat aksi Reynolds
dua beradik. Wajah dijengah sedikit lewat bongkok tubuh Rayn. Tengok reaksi Reynolds-lady itu macam masih nak
bersoal-jawab dengan dia, walaupun si Reynolds-guy
yang ini dah gerenyot mulut. Tak bersetujulah tu agaknya.
“Belajar ya?” Lantak you, Rayn. Kawan
Rayn, kawan akak juga. Macam tak biasa.
Pearl angguk menjawab soalan Hanani.
“Dia belajar dekat Melbourne Uni, Kak
Ann.” Suara tambahan menjawab bagi pihak pesakit. Rayn turut berikan jelingan
tak puas hati ke arah Kak Ann. Kenapa Kak Ann sibuk tanya soalan yang dia dah
beritahu jawapannya! Tak faham betul!
“Akak dulu belajar dekat situ juga.”
Sekali lagi, Rayn kembali toleh ke
kanan. Mata turut dijegilkan. “Stop the
chat, will ya?”
“Fair
go, mate.” Semakin galak Hanani rasa nak mengusik adiknya. “You tinggal
dalam CBD ke?” Ah, silap soalan! Hanani nampak bibir Rayn sudah terbit senyuman
simpul. Habis! Habislah gaji mingguan dia.
Hanani geleng perlahan-lahan. Pearl,
tolonglah jangan bagitahu fakta lebih-lebih, tolonglah! Silap dia sendiri
pertaruhkan Max cekelat. Rayn hantu
coklat. Kalau Rayn berjaya, memang dia yang rugi. Koyak poket! Hanani nantikan
reaksi Pearl dalam debar.
Kelihatan wanita berlilit shawl itu menjengah sedikit sambil
mengangguk. Dan kemudian hanya tayang seulas senyuman. Itu saja?
Itu sahaja! Yes! Nasib dia baik! Saat ini Hanani bersyukur wanita itu tidak
boleh bersuara. Cukuplah maklumat pendek begitu. Tapi alahai... sopan sungguh
calon adiknya kali ini. Tak putus-putus senyumannya. Janganlah santun sangat,
dik.
“Kak Ann, dia ni tak boleh banyak
bercakap.”
“Eleh! Pearl tak cakap apa pun. Jawab
pakai signal aje, tak luak pun air liur. Kan Pearl?”
Kalau tak sakit tekak, dia ini peramah
tak? Persoal Hanani sendirian. Nampak gaya macam okay. Manalah tahu boleh jadi
geng lepak dia. Boleh ikut dia dengan adik angkat seorang lagi dekat Melbourne
tu.
“It’s
okay, Pearl. Nanti bila dah sampai airport,
kita sambung lagi ya?” Hanani tayang genggaman dengan ibu jari menghala ke
atas.
Pearl mengiyakan dengan gaya yang sama.
Berbual begini dengan Kak Ann pun dia rasa seronok. Di Melbourne, dia bukannya
ada ramai kawan. Setakat rakan sekuliah dua tiga kerat, rakan serumah yang
seorang itu, sekian.
Pandangan Pearl beralih ke arah lelaki
di sisinya. Rayn sedang fokus pada grafik laut dan bumi di skrin kecil.
Membuatkan dia mahu mencari siaran yang sama.
Di mana lokasi mereka sekarang ini?
Pearl Ratna pasti jawapannya di langit.
Tapi kenapa dia terasa selesa, ibarat berada di ruang tamu rumah sendiri.
__________________________
Hakcipta terpelihara. © Shirod Shukri. 2017
PRE-ORDER NOVEL PEARL!
Terbitan minggu ke-2 Januari.
462 mukasurat
Terbitan minggu ke-2 Januari.
462 mukasurat
Bulky paper
Belian online sahaja, tidak dijual di kedai buku.
Whatsapp +6014 620 6290
Atau
pm inbox Facebook Shirod Shukri di link ini:
pm inbox Facebook Shirod Shukri di link ini:
https://www.facebook.com/shirod.shukri
No comments:
Post a Comment